Polis panggil saksi kes Khairuddin, kata Hamid

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan kes Mohd Khairuddin Aman Razali.

GEORGE TOWN: Polis akan memanggil saksi untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes pelanggaran perintah kuarantin Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, Khairuddin sudah dipanggil untuk memberikan keterangan dan lebih ramai saksi juga akan diminta tampil dalam beberapa hari lagi.

“Saksi ini adalah mereka yang sedar kesalahan menteri itu,” katanya hari ini.

Hamid berkata, polis tidak menetapkan tempoh bagi melengkapkan siasatan itu sambil menambah beliau tidak mahu memberikan tekanan kepada pegawainya.

Khairuddin sepatutnya memberikan keterangan kepada Bukit Aman hari ini berhubung siasatan kes itu namun ia ditunda.

Khairuddin dikritik hebat apabila gagal mematuhi perintah kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mendedahkan dalam Dewan Rakyat Khairuddin menghadiri beberapa acara selepas beliau pulang dari negara itu termasuk sidang Parlimen.