Polis soal siasat Khairuddin di Parlimen, bukan Bukit Aman

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali memberi keterangan kepada polis di bangunan Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengambil keterangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali berhubung kegagalan mematuhi kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari Turki Julai lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi berkata, proses mengambil keterangan itu dibuat di bangunan Parlimen oleh anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid

“Proses mengambil keterangan tidak dibuat di Bukit Aman tetapi di Parlimen,” katanya tanpa mendedahkan masa polis mengambil keterangan ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

Hari ini, lebih 50 pengamal media berada di luar Bukit Aman selepas beberapa media melaporkan Khairuddin akan hadir memberi keterangan kepada polis.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata isu mengenai Khairuddin diserahkan kepada polis untuk disiasat.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini memberitahu Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 pada 7 Ogos lalu, atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pula dilapor mengesahkan pihaknya membuka kertas siasatan terhadap Khairuddin yang gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari Turki pada 7 Julai.