Rakyat Sabah digesa pulang mengundi

Menurut semakan daftar pemilih 2018, lebih 1 juta pengundi berdaftar di Sabah.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Warisan Liew Vui Keong menyeru rakyat Sabah yang tinggal di luar negeri pulang mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Dalam sidang media diadakan bersama ahli Parlimen DAP dan PKR Sabah di Parlimen hari ini, beliau berkata semua pengundi berhak melaksanakan hak mengundi mereka.

“Jangan lepaskan peluang untuk mengundi,” katanya sambil menambah beliau dimaklumkan hanya ada 3,000 pengundi baharu bagi PRN pada 26 September ini.

“Saya agak terkejut tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengatakan mereka (rakyat) tidak menyangka pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 2 tahun ini.

“Tetapi, kita tahu mengapa pilihan raya mengejut itu diadakan. Kita sebagai pemimpin jentera Warisan dan sekutu kami bersedia menghadapi pilihan raya,” katanya.

Katanya, terdapat lebih 1 juta pengundi berdaftar di Sabah, berdasarkan semakan daftar pemilih 2018.

Dalam pada itu, ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, yang juga setiausaha DAP Sabah, menyeru semua rakyat Sabah menolak mereka yang terlibat dalam lompat parti.

“Semua rakyat Sabah mesti pulang ke Sabah untuk mengundi kerana ini adalah pilihan raya negeri yang amat penting. Kita boleh buktikan dengan jelas bahawa rakyat menolak lompat parti,” katanya.