Rusia tolak dakwaan ketua pembangkang Navalny diracun

Alexei Navalny diturunkan dari sebuah pesawat ke sebuah ambulans yang menunggu di Lapangan Terbang Tegel di Berlin pada 22 Ogos lalu. (Gambar AP)

MOSCOW: Rusia berdepan gesaan antarabangsa yang semakin meningkat pada Selasa untuk menyiasat dakwaan ketua pembangkang, Alexei Navalny diracun, walaupun Kremlin menolak penemuan doktor Jerman.

Navalny, 44, pengkritik paling lantang Presiden Vladimir Putin dan banyak mendedahkan rasuah pegawai kerajaan, dirawat di sebuah hospital di Berlin selepas jatuh sakit dalam penerbangan di Siberia Khamis lalu.

Beliau dirawat selama 2 hari di sebuah hospital di Siberia sebelum diterbangkan ke Hospital Charite yang terkenal di Berlin, di mana doktor pada Isnin lalu berkata, ujian klinikal “menunjukkan keracunan dengan bahan daripada kumpulan penyekat kolinesterase”.

Bahan itu digunakan dalam agen saraf, ubat-ubatan dan racun serangga yang menyekat enzim diperlukan sistem saraf pusat untuk berfungsi dengan normal.

Penyokong Navalny mendakwa beliau diracun dengan secawan teh yang diminumnya di sebuah lapangan terbang Siberia sebelum penerbangan ke Moscow, sambil menyalahkan Putin.

Tetapi, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menolak dakwaan pembabitan Putin.

“Kita tidak boleh memandang serius tuduhan sedemikian.

“Tuduhan ini tidak benar sama sekali dan lebih kepada cakap kosong,” katanya kepada wartawan.

Beliau mendakwa doktor Jerman terburu-buru membuat kesimpulan Navalny diracuni kerana toksin yang menyebabkan beliau jatuh sakit belum dikenal pasti.

“Kami tidak faham kenapa rakan Jerman kami tergesa-gesa. Bahan itu belum dikenal pasti lagi.”

Rusia belum melancarkan siasatan jenayah ke atas keracunan itu dan Peskov berkata “tiada alasan” untuknya sehingga toksin itu dikenal pasti.

Kementerian Luar Rusia menyerang negara barat “kecurigaan terburu-buru” untuk menentukan Navalny diracuni, sambil menambah kenyataan mereka “sangat menyinggung perasaan” doktor Rusia yang merupakan pasukan pertama merawatnya.

‘Tindakan jenayah’

Kenyataan Peskov menyusul pemimpin negara Barat menggesa Rusia menjalankan siasatan adil.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo menerusi kenyataan pada Selasa menggesa “siasatan penuh dan telus…serta untuk pihak terbabit dipertanggungjawabkan” kerana Washington “sangat bimbang” dengan insiden keracunan itu.

Kesatuan Eropah turut menggesa Rusia menjalankan “siasatan bebas dan telus”, manakala Canselor Jerman, Angela Merkel menggesa pihak bertanggungjawab ditahan.

Kementerian Luar Perancis pada Selasa berkata, ia sangat bimbang dengan “tindakan jenayah” itu serta menggesa “siasatan segera dan telus” untuk membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Navalny ialah penentang Kremlin terbaru yang jatuh sakit atau mati akibat keracunan, sama ada disyaki atau disahkan.

Agen saraf Novichok pernah digunakan terhadap bekas ejen Rusia, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia di Britain pada 2018.

Dua ejen tentera Rusia dikenal pasti Britain sebagai suspek sudah menghilangkan diri.

Pada 2006, bekas ejen perkhidmatan keselamatan Rusia, Alexander Litvinenko mati di London selepas meminum teh yang dicampur dengan radioaktif polonium-210.

Rusia bagaimanapun enggan mengekstradisi ketua suspek, Andrei Lugovoi.

Reaksi Kremlin menimbulkan kemarahan sekutu Navalny.

“Sudah jelas jenayah itu tidak akan disiasat dengan baik dan penjenayah itu ditemui, walaupun kita tahu siapa orangnya.

“Tetapi, cara Peskov bercakap mengenai perkara ini membuat saya marah,” kata jurucakapnya, Kira Yarmysh melalui Twitter.

Pelbagai versi

Peskov meragui kenyataan kerajaan Jerman yang Navalny “kemungkinan besar diracuni” kerana ada kemungkinan terhadap penjelasan lain.

“Kami hanya boleh setuju sebahagiannya…Terdapat kemungkingnan lain juga.”

Beliau mendapati keracunan “boleh dilihat sebagai satu daripada versinya, tetapi ada banyak versi perubatan lain”.

Katanya, doktor Rusia di hospital bandar Omsk, Siberia turut mengesan enzim kolinesterase pada tahap rendah dan merawat Navalny dengan antidot atropine, seperti yang dilakukan doktor Jerman sekarang.

Ketua pakar toksikologi di Hospital Kecemasan Omsk No 1, Alexandre Sabayev pada Isnin berkata, ujian untuk penyekat kolinesterase ke atas Navalny adalah negatif.

Terdahulu, doktor Rusia mencadangkan Navalny mengalami “gangguan metabolik” dan gula darah rendah.

Navalny sebelum ini berkata, beliau pernah diracun pada Julai 2019 selepas mengalami ruam dan muka bengkak di penjara, walaupun tiada siasatan dijalankan.

Beliau diserang pada 2017 oleh aktivis pro-Kremlin yang melempar pewarna hijau ke mukanya, menyebabkan luka kimia di matanya.