RUU IPCC ganti IPCMC dibentang

Dewan Rakyat juga akan membahaskan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 hari ini, bertujuan menangani isu memandu secara melulu dan pemandu bawah pengaruh dadah atau alkohol.

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Polis (IPCC) bagi menggantikan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang ditangguhkan kerajaan terdahulu.

IPCMC dibahas pada 2005 dan dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada Julai tahun lalu. Bacaan kali ke-2 ditangguhkan bagi membolehkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengumpulkan lebih banyak maklum balas.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat juga akan membahaskan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 hari ini, bertujuan menangani isu memandu secara melulu dan pemandu bawah pengaruh dadah atau alkohol.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat RUU itu akan mempunyai langkah untuk meningkatkan piawaian keselamatan jalan raya. Beliau menggesa semua ahli Parlimen bekerjasama dalam memastikan RUU itu diluluskan.

RUU itu mencadangkan, antara lain, hukuman penjara mandatori dan had kandungan alkohol dalam darah lebih rendah daripada yang dibenarkan.

Pindaan itu juga merangkumi hukuman bagi pesalah basikal lajak.

Bawah Seksyen 41 akta itu, pemandu yang disabitkan menyebabkan kematian kerana kelalaian akan berdepan denda lebih berat dan hukuman penjara lebih lama.

Denda minimum bagi pesalah kali pertama akan dinaikkan dari RM5,000 hingga RM20,000, dengan had dinaikkan dari RM20,000 menjadi RM50,000.

Pesalah kali pertama akan dikenakan hukuman penjara minimum 5 tahun, berbanding 2 tahun ketika ini. Hukuman penjara maksimum kekal 10 tahun.

Untuk sabitan berikutnya, pesalah akan didenda antara RM20,000 hingga RM100,000, berbanding denda semasa RM5,000 hingga RM50,000.

Tempoh penjara bagi pesalah berikutnya juga akan dinaikkan antara 10 dan 15 tahun.

Pesalah kali pertama tidak akan dibenarkan memegang lesen memandu selama maksimum 5 tahun. Untuk kesalahan berikutnya, hukumannya akan digandakan hingga 10 tahun.

Bagi mereka yang menyebabkan kematian ketika memandu bawah pengaruh alkohol, hukuman penjara antara 10 dan 15 tahun dikenakan, dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000.

Untuk sabitan berikutnya, hukuman penjara akan dinaikkan antara 15 hingga 20 tahun, dengan denda antara RM100,000 hingga RM150,000.

Had baru kandungan alkohol dalam nafas yang disyorkan akan dikurangkan menjadi 22 mikrogram alkohol dalam 100ml (sebelum ini 35 mikrogram).

Wee berkata, perkara lain yang tidak diliputi oleh undang-undang yang sedia ada ialah kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya.

Istilah “mikromobiliti” merujuk kepada kenderaan yang dijana alat elektrik dan mesin pembakaran dalaman atau tenaga manusia atau gabungan elektrik dan mesin pembakaran dalaman tenaga manusia, dengan kelajuan maksimum 50km/jam.

Bagi kesalahan basikal lajak, denda akan meningkat menjadi RM1,000 dengan hukuman penjara mandatori.