RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 lulus, lindungi pengguna jalan raya

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, hukuman penjara yang dinaikkan kepada minimum 5 tahun bagi mereka yang memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian adalah memadai dan ia akan dipertimbang oleh mahkamah.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 bukan bertujuan menindas dan membebankan individu sebaliknya bagi melindungi pengguna jalan raya.

RUU itu yang antara lain bakal meminda hukuman pemanduan bawah pengaruh alkohol atau dadah diluluskan dengan undian suara terbanyak di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, hukuman penjara yang dinaikkan kepada minimum 5 tahun bagi mereka yang memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian adalah memadai dan ia akan dipertimbang oleh mahkamah.

“Kalau seseorang itu memandu dengan melulu, saya rasa yang pertama pegawai akan menyiasat dengan mengambil kira keadaan jalan dan sebagainya, ke-2 semua fail (siasatan) akan dihantar kepada timbalan pendakwa raya yang mana ini perlu memenuhi prasyarat apa dinyatakan dalam undang-undang ini.

“Jadi ini bukan bertujuan untuk menghukum mereka yang mencari rezeki tiba-tiba tidak dapat kawal lalu lintas kerana jalan licin, sebaliknya saya dah kata keadaan itu dah ditulis begitu jelas sekali jadi saya yakin Jabatan Peguam Negara mempunyai pakar yang akan menilai setiap keadaan dan sekiranya ada justifikasi, barulah seseorang itu dituduh di mahkamah. Jadi ia tidak bertujuan menyusahkan mana-mana pihak,” katanya.

Terdahulu, beberapa ahli Parlimen pembangkang mendakwa RUU itu bersifat menindas golongan miskin yang tidak mampu membayar denda dan fi guaman sehingga memaksa mereka dipenjarakan minimum 5 tahun yang dianggap tinggi.

Antaranya Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang berkata: “Di kampung dan tempat pedalaman memang susah untuk menggaji peguam, jadi penjelasan di mahkamah tidak berjaya mereka akan terus dihukum 5 tahun penjara yang mana ini merugikan terutama anak remaja yang akan hilang masa depan.”

Turut membangkitkan isu itu Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan R Sivarasa (PH-Sungai Buloh) yang meminta hukuman minimum penjara dikekalkan 2 tahun dan terpulang kepada mahkamah untuk menimbang perkara itu.

Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali ke-2 Wee berkata, pindaan tersebut melibatkan 15 fasal utama dan menyentuh 13 seksyen Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan akan melengkapkan keseluruhan strategi kementerian dalam meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya di seluruh negara.

“Pindaan melibatkan peningkatan kadar hukuman atau penalti selain menjadikan hukuman penjara sebagai 1 bentuk hukuman mandatori bagi kesalahan yang terlibat.

“Cadangan pindaan Seksyen 41 akta itu melibatkan kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan iaitu hukuman penjara antara 5 hingga 10 tahun dengan denda minimum RM20,000 dan maksimum RM50,000,” katanya.

Wee berkata, antara pindaan lain ialah Seksyen 44 melibatkan kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Beliau berkata, jenis hukuman bagi kesalahan bawah seksyen itu akan dibahagikan kepada 2 kategori iaitu kes yang menyebabkan kecederaan dan kes menyebabkan kematian.

Bagi kes menyebabkan kematian, hukuman dikenakan jika sabit kesalahan ialah penjara bagi tempoh antara 10 hingga 15 tahun dan denda minimum RM50,000 dan maksimum RM100,000 selain hilang kelayakan lesen memandu bagi tempoh 10 tahun, bagi sabitan pertama.

Pindaan turut melibatkan hukuman penjara 15 hingga 20 tahun, denda tidak kurang RM100,000 dan maksimum RM150,000 serta hilang kelayakan lesen bagi tempoh 20 tahun, untuk kesalahan seterusnya.

RUU itu juga mencadangkan pindaan had kandungan alkohol baharu iaitu 22 mikrogram alkohol dalam 100ml nafas, 50mg alkohol dalam 100ml darah dan 67mg alkohol dalam 100ml air kencing.