Sebahagian rakyat Sabah masih berbelah bagi untuk pulang mengundi

PRK Parlimen Kimanis diadakan pada Januari. Pada 26 September, pengundi akan mengundi untuk kali ke-3 dalam tempoh 3 tahun.

KOTA KINABALU: Apabila Bakri Mohd membuang undi pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan, itu merupakan kali ke-3 baginya dalam tempoh kurang 3 tahun.

Itu pun hanya sekiranya dia pulang ke kampung halamannya lagi, selepas mengambil kira isu kos, pandemik Covid-19, dan calon lompat parti.

Bakri, 61, menetap di Selangor sejak 21 tahun lepas dan memandu teksi untuk menyara kehidupan.

Sebagai salah seorang pengundi di DUN Bongawan, terletak bawah Parlimen Kimanis, dia memenuhi tanggunggjawabnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kimanis pada Januari.

Menjelang pilihan raya negeri pada 26 September ini, dia bagaimanapun berbelah bagi.

“Kalau saya ada duit, saya mungkin pulang, tetapi sekarang susahlah,” katanya mengeluh hasil pendapatannya terkesan teruk akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Ancaman Covid-19 masih ada. Saya masih belum pasti tentang pulang mengundi.”

Bakri menambah 3 pilihan raya di kawasan sama dalam tempoh kurang daripada 3 tahun membebankan rakyat.

“Ini menyusahkan. Lagipun, tiada jaminan calon yang anda undi akan kekal bersama partinya.

“Semua orang tahu mengenai budaya lompat parti di Sabah. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana kita orang biasa.

“Tetapi pada masa sama, kita sebagai rakyat tidak sepatutnya melepaskan tanggungjawab kita sebagai pengundi.”

Kerusi Parlimen Kimanis dikosongkan pada Disember tahun lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang menolak kemenangan bekas menteri luar, Anifah Aman, pada PRU-14.

Pada PRK yang diadakan pada Januari lalu, Mohamad Alamin dari Umno menewaskan Karim Bujang dari Warisan.

Pengundi di Sandakan juga akan berdepan dengan pengundian buat kali ke-3 dalam tempoh kurang daripada 3 tahun.

Satu pilihan raya kecil diadakan pada 11 Mei tahun lalu, dengan calon DAP, Vivian Wong, menewaskan calon Parti Bersatu Sabah, Linda Tsen, dan 3 calon bebas lain.

Seorang pengundi Sandakan, hanya dikenali Adrian, berkata pengundi di Parlimen itu satu-satunya pengundi yang membuang undi setiap tahun sejak PRU-14.

“Bayangkan susah payahnya pengundi di luar daerah dan mereka yang bekerja atau belajar luar negeri,”kata Adrian yang bekerja di Semenanjung.

Seperti mana Bakri, dia mengakui dilemanya sebagai pengundi apabila memikirkan tentang budaya melompat parti.

“Jika saya tidak pulang dan keputusan tidak seperti saya harapkan, saya hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana tidak memainkan peranan sepatutnya,” katanya.

“Bagaimanapun, saya masih memikirkan sama ada hendak pulang atau tidak. Harapan saya mana-mana parti menang akan mendapat majoriti besar supaya kita tidak perlu lagi berdepan kerenah lompat parti.”

Penganalisis politik, Tony Paridi Bagang, berkata pengundi Sabah mungkin terhalang daripada pulang ke daerah pengundian masing-masing, bukan hanya kerana kekangan kewangan tetapi juga kekecewaan melihat wakil rakyat pilihan bertukar parti.

“Pengundi kecewa kerana wakil rakyat mengkhianati mereka dengan menukar parti,” katanya. “Mereka merasakan undi mereka tidak ubah seperti komoditi yang diperdagangkan wakil rakyat masing-masing.

“Tindakan tidak pulang antara cara mereka menunjuk perasaan.”

Beliau berkata kebimbangan terhadap Covid-19 juga membuatkan rakyat berfikir dua kali kerana risiko jangkitan lebih tinggi sewaktu acara besar seperti pilihan raya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 September sebagai hari penamaan calon. Sejumlah 73 kerusi dipertandingkan, tambahan 13 kerusi berbanding sewaktu PRU-14.

Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom, menyasarkan peratusan keluar mengundi mencecah 70%.

Beliau berkata sejumlah 1.12 juta pengundi layak untuk mengundi pada pilihan raya kali ini, meliputi 1.10 juta pengundi biasa, 81 pengundi luar negara, 9,488 anggota tentera dan pasangan, serta 11,423 polis dan pasangan.

Bersih 2.0 Sabah menggesa SPR membenarkan undi pos bagi pengundi yang bekerja di Sarawak dan Semenanjung, dan Timbalan Presiden Upko Donald Mojuntin mencadangkan SPR membuka pusat pengundian di Semenanjung, Sarawak, dan Singapura.

Azmi berkata SPR akan melihat proses menambah baik undi pos bagi menggalakkan pengundi di Semenanjung mengirim undi.

Bagaimanapun, beliau menambah langkah sebegitu tidak dapat dilaksanakan pada pilihan raya kilat kerana sistem sedia ada tidak mampu menampung jumlah undi pos yang banyak.