Semakan kehakiman hak gabenor Sabah bubar DUN didengar 7 Sept

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Sept untuk mendengar rayuan 33 Adun Sabah terhadap persetujuan Yang di-Pertua Sabah, Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Yaacob Md Sam turut menetapkan 7 Sept untuk mendengar permohonan penangguhan pengisytiharan oleh Juhar untuk mengadakan Pilihan Raya Umum DUN Sabah ke-16, yang diwartakan pada 30 Julai.

Dua lagi hakim dalam panel itu ialah P Ravinthran dan Ahmad Nasfy Yassin.

Peguam Tengku Ahmad Fuad Tengku Burhnuddin mewakili 33 perayu, manakala Peguam Besar Sabah, Brenndon Keith Soo mewakili Yang di-Pertua, Ketua Menteri, Shafie Apdal dan kerajaan negeri.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan dan S Narkunavathy mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya.

Soo membangkitkan rayuan penangguhan pengisytiharan itu bersifat akademik, jika kebenaran untuk semakan kehakiman ditolak.

Pembubaran DUN Sabah memberi laluan kepada pilihan raya mengejut di negeri itu, dengan 26 Sept ditetapkan sebagai hari pengundian dan penamaan calon pada 12 Sept.

Minggu lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim menolak permohonan 33 Adun itu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman atas alasan tindakan Yang di-Pertua Negeri tidak boleh diadili di mahkamah.

Dalam penghakiman selama sejam, Shim berkata, mahkamah mendapati Shafie bertindak mengikut Perlembagaan Sabah dalam meminta Juhar membubarkan DUN.

Katanya, Juhar juga bertindak dalam bidang kuasanya untuk membubarkan DUN.