Tarik balik RUU had jawatan PM ‘keputusan sebulat suara Kabinet’, kata menteri

Rang undang-undang dicadangkan kerajaan Pakatan Harapan untuk mengehadkan tempoh perdana menteri menjadi 2 penggal ditarik balik hari ini.

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini menegaskan keputusan menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri menjadi 2 penggal dibuat secara sebulat suara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata, keputusan Kabinet itu disokong semua ahli termasuk beliau sendiri.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan sudah menarik balik RUU itu di Dewan Rakyat.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019 dibentangkan Disember tahun lalu ketika Pakatan Harapan (PH) mencadangkan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri menjadi 2 penggal.

Saifuddin berkata demikian dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, Universiti Teknologi Mara dan Lembaga Teknologis Malaysia.

Ditanya mengapa beliau menyokong penarikan RUU itu walhal beliau sebelum ini antara yang menggesa ia dipinda, Saifuddin berkata ia disebabkan Perikatan Nasional (PN) adalah “kerajaan pemerintah yang berbeza”.

“Saya rasa ini kerana falsafah yang berbeza, kerajaan yang berbeza dan cara berbeza untuk melihat perkara tertentu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan keputusan itu tidak akan menggagalkan agenda reformasi undang-undang.

“Masih banyak lagi perkara boleh dibuat untuk agenda reformasi. Sebahagian besarnya masih lagi dibentangkan,” katanya.

Mengenai majlis tandatangan MoU hari ini, beliau berkata ia adalah 1 bentuk akreditasi bagi menyatukan pemain industri.

“Akreditasi ini bertujuan meningkatkan kualiti industri tempatan dan melindungi pemain industri,”katanya.