Tentera China mula latihan hadapi kemungkinan serangan nuklear AS

Pengulas ketenteraan berpangkalan di Hong Kong, Song Zhongping berkata, pandemik Covid-19 turut menyediakan latihan pertempuran sebenar menyeluruh kepada PLA.

PETALING JAYA: Pasukan roket Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) memulakan latihan ketenteraan bagi perang kimia, biologi, radiologi dan nuklear (CBRN), yang dikatakan pakar ketenteraan sebagai persiapan untuk menghadapi kemungkinan Amerika Syarikat melancarkan serangan nuklear, lapor South China Morning Post.

Akhbar itu melaporkan latihan anti-CBRN menjadi fokus latihan utama di “Western Theater Command” dan tentera pasukan roket PLA sejak April lalu, menurut laporan dalam talian dan rakaman video dalam akaun media sosial WeChat akhbar ketenteraan, PLA Daily, dan pasukan peluru berpandu.

Klip video latihan dalam talian pada 22 Ogos lalu menunjukkan 4 briged bantuan kecemasan daripada pasukan roket dikerah untuk menyelamatkan tentera cedera dari sebuah pangkalan di bawah simulasi senjata nuklear pada waktu malam.

Menurut video itu, pangkalan berkenaan terletak 2,000km jauh dan pegawai perubatan serta anggota bantuan kecemasan perlu berdepan “kemalangan” dan “serbuan” dalam perjalanan ke medan perang nuklear.

Latihan lain – latihan senjata anti-nuklear terbesar pasukan roket membabitkan ribuan tentera dan ratusan jentera ketenteraan – menyaksikan pekerja dan pasukan tempur memakai sut pelindung kimia ketika bertugas di Gurun Gobi, dengan suhu mencecah 40 darjah Celcius.

Kakitangan perubatan turut mendirikan khemah untuk menjalani pembedahan kecemasan.

“Menyertai latihan bersama dengan pasukan barisan depan boleh membantu kami memahami serangan nuklear dan situasi medan perang secara terperinci yang akan membantu kami membuat perancangan latihan untuk rawatan serangan nuklear tertentu,” kata Wang Jianan, pengarah pusat rawatan nuklear pasukan roket dalam video itu.

Pengulas ketenteraan berpangkalan di Hong Kong, Song Zhongping berkata, PLA perlu meningkatkan pertahanan anti-CBRN, menunjukkan kemampuan serangan ke-2 PLA jika berlaku serangan senjata nuklear.

“AS tidak akan berhenti daripada cuba melancarkan serangan nuklear terlebih dahulu. Sebagai pasukan peluru berpandu China yang strategik, pasukan roket turut menjadi sasaran utama AS.

“Pasukan roket perlu bersiap sedia menghadapi semua senario paling teruk, termasuk bagaimana menyelamatkan diri apabila diserang musuh atau apabila kebocoran nuklear berlaku, serta latihan kecemasan lain.”

Beliau berkata, pandemik Covid-19 turut menyediakan latihan pertempuran sebenar menyeluruh kepada PLA dan pasukan roket sudah mempelajari cara menyempurnakan pertahanan anti-CBRN mereka melalui operasi bersama dengan cawangan lain.