Tiada gelembung perjalanan buat masa sekarang, kata menteri pelancongan

KUALA LUMPUR: Gelembung perjalanan tidak akan dilaksanakan buat masa sekarang memandangkan banyak negara sedang berdepan gelombang ke-2 jangkitan Covid-19, kata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Ditemui semasa promosi kempen televisyen Cuti-cuti Malaysia, Menteri Nancy Shukri berkata kementeriannya sedang menfokuskan sektor pelancongan domestik ketika ini.

“Kami sedang berusaha untuk melaksanakan gelembung perjalanan dalam 2 bulan kebelakangan ini,”katanya.

“Kami mengenal pasti beberapa negara untuk memulakan pelan perjalanan itu seperti China namun kebanyakannya sedang terkesan dengan gelombang baharu jangkitan.

“Jadi daripada menfokuskan negara, kami melihat ke arah destinasi.”

Beliau berkata kementerian mempromosikan sektor pelancongan domestik melalui aktiviti seperti selam skuba dan golf.

Menurutnya, SOP sektor pelancongan domestik akan selesai dalam tempoh 2 minggu.

Beliau turut menggesa orang ramai mengamalkan penjarakan fizikal sewaktu melancong, terutama di kepulauan.

“Perlu ada peraturan di mana hanya sejumlah pengunjung tertentu dibenarkan untuk berada di sesebuah pulau pada satu sama,”katanya.

“Kita perlu lebih tegas mengingatkan satu sama lain untuk mengekalkan penjarakan fizikal.”

Kempen promosi TV Cuti-cuti Malaysia merupakan salah satu inisiatif Tourism Malaysia untuk memperkasakan sektor pelancongan domestik.

Rancangan itu akan disiarkan melalui TV1, TV2, dan TV OKEY.

“Promosi ini akan memberikan pendedahan meluas pelbagai produk tempatan, sekaligus membantu memulihkan industri pelancongan negara dan menempatkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan selamat,” kata Nancy.