Zahid terburu-buru umum cadangan gabungan besar di Sabah, kata penganalisis

Ahmad Zahid Hamidi mahu menubuhkan gabungan lebih kukuh di Sabah.

KOTA KINABALU: Seorang penganalisis politik berkata, Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi terburu-buru mengumumkan cadangan gabungan besarnya tanpa berunding dengan parti politik Sabah terlebih dahulu.

Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah berkata, akibatnya, pengumuman itu memakan diri Zahid selepas beberapa parti Sabah tidak bersetuju dengan cadangan itu.

“Keadaan ini boleh dielakkan kerana ia kini mencemarkan imejnya dan juga BN,” katanya kepada FMT.

“Ahli politik dan parti Sabah melihat gesaannya sebagai langkah untuk menguasai mereka, oleh itu, ia dilihat bertentangan kepentingan semua rakyat Sabah dari segi autonomi lebih besar.

“Ini juga memberi tanggapan pemimpin ini tidak berusaha memahami, menghormati dan bekerjasama dengan satu sama lain tanpa seseorang cuba memimpin atau menguasai mereka.

“Perbincangan awal perlu diadakan dan pengumuman hanya dibuat selepas persetujuan dicapai.”

Ahad lalu, Zahid yang juga presiden Umno dilaporkan berkata, rundingan sedang diadakan dengan beberapa parti di Sabah berhubung pengagihan 73 kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Insya Allah kita akan membentuk sebuah gabungan semua parti ini bersama-sama dengan BN Sabah supaya terdapat hanya satu gabungan parti politik di Sabah dan kami akan mengemukakan ‘the new deal’ melalui manifesto khusus bagi pengundi Sabah,” katanya.

Parti yang dimaksudkannya termasuk Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), STAR, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP), SAPP dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Bagaimanapun, PCS, LDP dan SAPP membantah cadangan itu.

Presiden PCS, Anifah Aman dilaporkan berkata, parti itu tetap dengan dasar perjuangannya tidak berpakat dan bergabung dengan parti lain dalam PRN akan datang.

Setiausaha Agung LDP, Yong Wui Chung pula berkata, parti itu menolak sebarang kerjasama dengan BN dan tetap dengan pendirian untuk kekal sebagai parti bebas.

Presiden SAPP, Yong Teck Lee dilaporkan berkata, partinya tidak mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak, termasuk BN, selain beberapa pertemuan tidak rasmi dengan Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor dan Presiden STAR, Jeffrey Kitingan.

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya percaya cadangan gabungan besar itu mungkin idea spontan Zahid.

Katanya, ahli Parlimen Bagan Datuk itu mungkin berpendapat idea menyatukan parti itu akan mudah diterima kerana ia adalah cara terbaik untuk mencapai kemenangan.

Beliau berkata, Zahid mungkin merasakan parti lebih kecil bertanding bersendirian pada PRN bulan depan akan menyukarkan BN menjatuhkan lawan politik mereka.

“Apabila tiada solidariti antara mereka, maka ia sukar untuk menentang Warisan dan sekutunya.”

Awang Azman bagaimanapun tidak percaya ia adalah persoalan mengenai parti dari Semenanjung mahu menjadi dominan atau berkuasa.

“Jangan lupa DAP juga bekerjasama dengan Warisan. Ini soal ahli politik menjadi tamak dan yakin, tetapi lupa tanpa kerjasama politik, ia sukar untuk menang.”