2 projek runding terus KPKT dibuat tanpa pengetahuan, tegas Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin memberi jaminan kementeriannya akan melakukan siasatan membabitkan isu didedahkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam.

PETALING JAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin menegaskan 2 projek rundingan terus yang diluluskan oleh kementerian itu sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah di luar pengetahuannya.

Berikutan itu, ahli Parlimen Ampang itu memberi jaminan bahawa kementeriannya akan melakukan siasatan membabitkan isu yang didedahkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam.

“Ingin saya tegaskan 2 projek yang diluluskan kepada KPKT, sewaktu saya menjawat tugas sebagai menteri semasa pentadbiran terdahulu dibuat di luar pengetahuan saya.

“Justeru, saya ingin memberikan jaminan bahawa KPKT akan melakukan siasatan membabitkan isu yang timbul,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul dalam kenyataan media mendedahkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang ditawarkan secara rundingan terus ketika pentadbiran PH.

Beliau memaklumkan mendahului senarai projek rundingan terus adalah yang membabitkan Kementerian Pengangkutan dengan nilai perolehan RM4.47 bilion melibatkan 4 projek.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli merekodkan jumlah paling tinggi bagi kelulusan projek secara runding terus dengan 13 projek.

Tengku Zafrul memaklumkan projek yang diluluskan kementerian itu membabitkan nilai RM5.67 juta, diikuti Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan 12 projek dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (9 projek).

Turut tersenarai adalah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang dikemudi menterinya ketika itu, Mohamed Azmin Ali dan KPKT di bawah Zuraida dengan masing-masing meluluskan 4 dan 2 projek.

Ironinya, Azmin dan Zuraida sebelum ini memberitahu bahawa Kabinet pentadbiran PH tidak pernah dimaklumkan mengenai kelulusan projek secara runding terus tersebut.

Dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) Azmin adalah menteri kanan merangkap menteri perdagangan antarabangsa dan industri, manakala Zuraida kekal memegang jawatan sama.