5 kes baharu, 16 pesakit sembuh Covid-19

PETALING JAYA: Sebanyak 5 kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 16 pesakit sembuh hari ini.

Jumlah kematian kekal 125 orang kerana tiada kematian dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 8 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 6 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Setakat ini, Malaysia melaporkan 9,296 kes Covid-19 dengan 8,994 daripadanya sudah sembuh.

Ketika ini, 177 pesakit Covid-19 dirawat di seluruh negara.

Hisham berkata, daripada 5 kes dilaporkan hari ini, 2 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, iaitu Filipina dan Mesir membabitkan warganegara.

Kes import ini dilaporkan di Selangor.

Manakala, 3 kes penularan dalam negara adalah dalam kalangan warga Malaysia di Melaka.

“Dua kes saringan pra pembedahan di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak dan 1 kes saringan bergejala di Hospital Angkata Tentera Kem Terendak,” katanya.

Pada masa sama, Hisham berkata hingga 27 Ogos seramai 4,521 sudah disaring dalam kluster Tawar dan hari ini, tidak ada kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif bagi Covid-19 adalah 73.

Katanya, mengambil kira peningkatan kes mendadak sehingga melibatkan daerah dan negeri lain, pihak Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjalankan kajian virologi terhadap kluster Tawar.

“Ketika ini sebanyak 14 sampel diambil bagi tujuan ‘full genome sequencing’ dan sebanyak 4 sampel berjaya mendapat virus untuk kajian ‘sequencing’. Didapati virus tersebut mempunyai mutasi D614G.

“Virus kluster Tawar ini (4 sampel) sudah dibandingkan dengan virus daripada kluster PUI Sivagangga (3 sampel). Hasil menunjukkan ketujuh-tujuh virus ini daripada ‘clad’ yang sama,” katanya.

Hisham berkata, ini mencadangkan kluster Tawar dan PUI Sivagangga adalah kemungkinan besar daripada sumber sama.

“Namun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.