9.9 juta pengguna tebus e-tunai RM50 bawah MySejahtera setakat ini

Tawaran e-tunai di bawah aplikasi MySejahtera akan berakhir pada 24 September dan pengguna perlu menggunakannya sebelum 30 September.

KUALA LUMPUR: Setakat 21 Ogos, sehingga 9.9 juta pengguna telah menebus RM495 juta e-tunai di bawah aplikasi MySejahtera, menurut Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah hari ini.

Beliau berkata, pengguna mula menebus peruntukan itu pada 31 Julai dan akan berakhir pada 24 September. Tambahnya, pengguna perlu membelanjakan tawaran itu selewat-lewatnya pada 30 September.

Beliau menjawab pertanyaan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berhubung jumlah pemohon yang berjaya menebus e-tunai bernilai RM50 itu.

Aplikasi MySejahtera diperkenalkan ketika tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk membolehkan perjalanan antara negeri dan pengesanan kontak melalui maklumat pengguna yang didaftarkan di setiap premis.

Di bawah inisiatif ePenjana, aplikasi itu kemudian dikreditkan dengan RM50 kepada setiap pengguna.

Wong juga membangkitkan isu pelanggaran privasi dan keselamatan data kerana pengguna diminta untuk mengisi maklumat peribadi ketika mendaftar dengan aplikasi tersebut.

Shahar bagaimanapun memberi jaminan bahawa semua butiran disimpan selamat di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.