AS sekat 24 syarikat kerajaan China atas isu Laut China Selatan

(Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Amerika Syarikat mengumumkan sekatan ke atas 24 syarikat milik kerajaan China, termasuk beberapa subsidiari China Communications Construction Company (CCCC), yang terlibat dengan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), atas isu Laut China Selatan.

Setiausaha Jabatan Negara AS, Mike Pompeo, dalam kenyataan yang diterima hari ini berkata China sejak 2013 menggunakan syarikat miliknya untuk penambakan di kawasan yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan, “menggugat kestabilan di rantau itu, menginjak kedaulatan negara jiran, dan menyebabkan kemusnahan alam sekitar”.

“CCCC mengetuai pengorekkan pos kawalan China di Laut China Selantan dan antara kontraktor utama yang digunakan Beijing dalam strategi ‘Jalur dan Laluan’.

“CCCC dan subsidiarinya terlibat dengan rasuah, pembiayaan bersifat pemangsa, kemusnahan alam sekitar, dan penyelewengan lain di serata dunia,” katanya.

Perkembangan ini langkah terbaru dalam usaha Washington menekan Beijing berhubung peningkatan ketenteraan di kawasan Laut China Selatan yang menjadi pertikaian antara China dan beberapa negara Asean termasuk Malaysia.

24 syarikat berkenaan, dimasukkan dalam senarai “Entity List” Jabatan Perdagangan AS, yang membolehkan ia menyekat eksport, eksport semula, atau penghantaran barangan AS kepada mereka.

Di Malaysia, CCCC terbabit dalam pembinaan ECRL, dan terowong serta beberapa stesen bawah tanah projek Transit Aliran Massa (MRT) bagi laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya.

Pompeo berkata AS akan bertindak sehingga Beijing menghentikan tingkah lakunya di Laut China Selatan.

“China tidak boleh dibenarkan untuk menggunakan CCCC dan syarikat milik kerajaannya yang lain sebagai senjata untuk agenda meluaskan kuasanya,” katanya.

Di samping itu, AS turut mengenakan sekatan visa ke atas beberapa individu warga China yang didakwa bertanggungjawab atas, atau terlibat dengan pihak lain dalam, penambakan berskala besar, pembinaan, atau ketenteraan di pos kawalan yang dipertikaikan di Laut China Selatan, serta tindakan China menghalang akses negara Asia Tenggara kepada sumber luar pesisir.

“AS akan terus bersama sekutu dan rakan-rakannya menentang kegiatan yang menggugat kestabilan itu,” kata Pompeo.