Bahas RUU ganti IPCMC tunda ke Nov

Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said mengemukakan cadangan penangguhan RUU itu pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR: Kerajaan menangguhkan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 untuk bacaan kali ke-2 dan ke-3 di Dewan Rakyat pada mesyuarat akan datang yang dijangka bersidang November depan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said mengemukakan cadangan itu pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat hari ini.

“RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 ditangguh untuk bacaan kali ke-2 dan ke-3 dan dibawa ke mesyuarat akan datang,” katanya ketika membawa usul untuk RUU itu ditangguhkan.

Sidang yang berlangsung selama 25 hari bermula 13 Julai lalu berakhir hari ini dan akan bersambung November depan.

Semalam, kerajaan menarik balik 2 RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) daripada pembentangan bacaan kali ke-2.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan menyatakan penarikan balik itu menerusi Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Takiyuddin berkata, kerajaan memutuskan untuk menarik balik RUU IPCMC 2019 susulan bantahan pelbagai pihak dan akan digantikan dengan peruntukan baharu.

RUU IPCMC 2019 dibentang bagi bacaan kali pertama pada 18 Julai tahun lalu oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), bagi menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ke arah meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia juga bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.

Ismail semalam mengemukakan peruntukan baharu menggantikan IPCMC iaitu RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu bakal menyaksikan badan pemantau bebas ditubuhkan, selain mewujudkan peruntukan, fungsi dan kuasa, termasuk berkaitan aduan salah laku serta penyiasatan terhadap anggota polis.