Bekas pemimpin Umno, Tawfik Ismail mahu jadi calon bebas dalam PRU15

Bekas ahli Parlimen Umno Tawfik Ismail.

PETALING JAYA: Bekas ahli Parlimen Umno Tawfik Ismail berkata, beliau akan kembali ke arena politik, tetapi kali ini akan bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya akan datang.

Beliau akan mewakili Gerak Independent, inisiatif bersama yang diketuai oleh Malaysian Action for Justice and Unity Foundation (Maju) serta NGO lain yang menyokong calon bebas sebagai ahli Parlimen dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Saya percaya sudah tiba waktunya kita pergi terus kepada rakyat untuk membawa agenda Malaysia yang saksama untuk semua, bebas daripada hegemoni politik kepartian dan orang kuat mereka yang berkepentingan,” katanya dalam sesi webinar Maju semalam.

“Saya meninggalkan politik kerana kecewa dengan apa yang mereka wakili, tetapi saya rasa sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia yang benar-benar ingin berkhidmat tampil untuk mempertahankan kepentingan negara dan generasi masa depan kita.”

Sementara itu, Maju dalam kenyataan semalam berkata, antara 15 hingga 20 calon akan bertanding di bawah Gerak Independent.

Bagaimanapun, nama mereka belum didedahkan.