Cukai pengosongan hanya untuk hartanah mewah, kata menteri

Bagi mengelakkan lambakan hartanah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menasihatkan pemaju membina rumah mampu milik.

KUALA LUMPUR: Cukai pengosongan yang dicadangkan untuk dikenakan kepada pemaju adalah bagi hartanah mewah berharga lebih RM500,000, kata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, terdapat banyak unit terbengkalai dalam tempoh 5 hingga 10 tahun lalu dan kementerian sedang melihat cabaran dihadapi sektor hartanah dalam menjual hartanah itu.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa cukai pengosongan, yang diadaptasi dari Australia dan New Zealand, masih dalam perbincangan.

Susulan wabak Covid-19 yang melanda, katanya, ramai pemaju sedar bahawa projek mereka tidak tepat. Beliau menambah, kementeriannya kini sedang menggalakkan mereka membina rumah mampu milik.

Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) berkata cukai pengosongan yang dikenakan oleh negara maju bertujuan untuk mencegah spekulasi hartanah.

Katanya, dalam kes Malaysia, negara sedang menghadapi masalah lambakan hartanah.

“Bagi saya cukai pengosongan ini adalah suatu ‘double whammy’ kalau kita kenakan kepada pemaju,” katanya sambil menambah kajian praktikal perlu dijalankan sebelum keputusan dibuat.

Zuraida bersetuju yang negara sedang berdepan lambakan hartanah berikutan harganya di luar jangkauan kebanyakan rakyat.

Justeru, katanya kementerian berusaha menumpukan kepada projek perumahan mampu milik.

Cukai pengosongan adalah cukai dikenakan pada hartanah yang dibiarkan kosong dan tidak terjual untuk jangka masa tertentu dan ia dikenakan penalti berdasarkan peratusan dari harga jualan kasar.

Menurut data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, terdapat 2,260 kondominium yang tidak terjual di Lembah Klang pada suku ke-2 2018, di mana 498 unit mewah berharga RM1 juta ke atas.