Gaduh di Dataran Merdeka, 8 lelaki didenda RM1,000

Sebelum ini video berdurasi 15 saat tular di media sosial yang menunjukkan sekumpulan remaja lelaki, dengan sebahagian mereka bersenjatakan topi keledar, bergaduh di Dataran Merdeka.

KUALA LUMPUR: Lapan lelaki yang video rakaman pergaduhan mereka tular di media sosial baru-baru ini dijatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan gaduh gempar di Dataran Merdeka, Ahad lepas.

Mereka terdiri daripada Mohamad Syahrul Azrai Mas Ringo, 18, Nasrin Superatekjo, 26, Mohd Sharuddin Muhamad Sali, 26, Mohammad Azrul Effendy Azmi, 19, Muhammad Taufiq Zakaria, 22, Muhammad Razif Razali, 21, Muhammad Dashrin Ashraff Ishak, 21, dan Muhammad Azizul Izwan Mohd Saian, 22.

Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali turut memerintahkan semua tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Turut mengaku bersalah atas pertuduhan sama 3 remaja lelaki berusia 17 tahun dan mahkamah menetapkan 28 September untuk laporan akhlak sebelum menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa melakukan gaduh gempar di tempat awam di Dataran Merdeka pada 1.29 pagi, 23 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 159 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 160 dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 6 bulan atau dengan denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada semua tertuduh sebagai pengajaran terhadap kesalahan yang dilakukan.

“Dataran Merdeka sepatutnya menjadi tempat untuk menunjukkan semangat patriotik, tetapi kejadian (bergaduh) yang dilakukan oleh semua tertuduh mencemarkan ketenteraman kawasan itu apatah lagi ketika ini berlangsung sambutan bulan kebangsaan,” katanya.

Peguam Mohammad Zaidi Othman yang mewakili Syahrul, Nasrin, Sharuddin, Dashrin, Azizul dan 3 remaja bawah umur memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan semua anak guamnya sudah insaf selain pergaduhan itu tidak dirancang.

“Mereka juga memohon maaf dengan apa yang terjadi termasuk meminta maaf antara 1 sama lain dan kejadian berlaku adalah akibat salah faham,” katanya.

Tiga lagi tertuduh iaitu Azrul, Taufiq dan Razif tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, video berdurasi 15 saat tular di media sosial yang menunjukkan sekumpulan remaja lelaki, dengan sebahagian mereka bersenjatakan topi keledar, bergaduh di Dataran Merdeka.

Polis yang menerima laporan kejadian itu daripada orang ramai mendapati punca pergaduhan akibat perselisihan faham antara kumpulan anak muda bermotosikal dan ia tidak membabitkan elemen kongsi gelap atau gengsterisme.