Inkues Nora Anne: Anjing pengesan SAR sakit pinggang, kaki, kata saksi

Anjing pengesan yang digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama Nora Anne Quoirin dilaporkan hilang pada 4 Ogos tahun lalu, gagal menghidu sebarang bau yang dapat mengesan remaja berkenaan berikutan masalah kesihatan. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu anjing pengesan yang digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama Nora Anne Quoirin dilaporkan hilang pada 4 Ogos tahun lalu, gagal menghidu sebarang bau yang dapat mengesan remaja berkenaan berikutan masalah kesihatan.

Anggota Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan Poo Kong San, yang merupakan saksi ke-5 prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja Ireland-Perancis itu turut memberitahu, faktor kesihatan anjing jenis German Shepherd ketika itu mungkin mempengaruhi deria baunya.

“Setibanya di lokasi kira-kira 2.50 petang di Sora House, saya lapor kepada pegawai penyiasat inspektor Faridah untuk mendapatkan maklumat orang hilang. Kemudian saya gunakan anjing pengesan untuk buat pengesanan di bahagian tingkap dan dalam masa sama, keluarga mangsa ada membawa kain yang pernah dipakai mangsa, dan saya bawa anjing untuk hidu bau kain tersebut.

“Selepas membawa anjing mengelilingi kawasan rumah sekitar radius 50m yang mengambil masa kira-kira 1 jam, anjing tidak beri apa-apa respons,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Maimoonah Aid, pada prosiding itu.

Ditanya timbalan pendakwa raya Nurhafiza Haron apakah tindakan lanjut dilakukannya selepas pencarian kali pertama gagal mendapat sebarang hasil, Poo berkata, pencarian kali ke-2 diteruskan kira-kira 5.30 petang dalam radius 100m dari Sora House, dan sekali lagi anjing tersebut tidak menunjukkan sebarang reaksi.

“Selesai tugasan ke-2, saya rehatkan anjing dan lepas itu pukul 8 malam pegawai penyiasat minta unit K9 buat sekali lagi pengesanan atas permintaan keluarga, dan pengesanan sekali lagi dilakukan di keliling Sora House namun tidak mendapat sebarang hasil,” katanya.

Ditanya Nurhafiza apakah faktor yang mempengaruhi tahap pengesanan anjing K9 mengikut pengalaman beliau, Poo berkata terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi antaranya cuaca, bentuk muka bumi dan jumlah kehadiran orang ramai di kawasan kejadian.

“Kalau cuaca hujan bau tertinggal akan dihanyutkan, kalau cuaca panas bau pun akan hilang begitu juga dengan cuaca berangin di mana bau akan ditiup angin. Kalau faktor bentuk muka bumi, iaitu tanah kering bau tidak melekat, manakala faktor kehadiran orang yang terlalu ramai di lokasi akan menyebabkan kawasan tercemar dan bau juga akan hilang,” katanya.

Pada prosiding itu, mahkamah turut diberitahu saksi bahawa anjing K9 yang digunakan pada ketika itu berusia 4 tahun dan mengalami sakit pinggang dan sakit di bahagian belakang kaki atas faktor usia dan hanya digunakan sehari sahaja iaitu pada 4 Ogos 2019.

Prosiding inkues dijadual berlangsung selama 2 minggu bermula 24 hingga 27 Ogos dan bersambung semula pada 1 hingga 4 Sept ini.

Seramai 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama 2 minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai kira-kira 60km di selatan ibu negara.

Mayat Nora Anne ditemukan pada 13 Ogos, berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5km dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berkuasa.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja istimewa itu tidak mempunyai unsur jenayah dan mangsa disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Sementara itu, Maimoonah berkata prosiding hari ini ditangguhkan dan akan bersambung pada Selasa depan.