Kajian semula kurangkan tol PLUS di peringkat akhir, kata menteri

Pengguna kenderaan yang menggunakan lebuhraya diselia PLUS Malaysia Bhd itu menikmati penurunan kadar tol sebanyak 18% sejak 31 Januari.

KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam peringkat akhir kajian semula pengurangan tol lebuhraya PLUS sebanyak 18% yang dilaksanakan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini yang perbincangan itu membabitkan pelbagai pihak, termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya, Unit Kerjasama Awam Swasta serta pemegang bon.

Beliau berkata, kerajaan PH sebelum ini menyatakan pengguna lebuhraya akan menerima penjimatan RM1.11 bilion hingga 31 Dis 2038, manakala pihak kerajaan mencecah RM43 bilion.

Tony Pua (PH-Damansara) mempersoalkan keperluan mengkaji semula perkara itu memandangkan pelaksanaannya menjimatkan kerajaan dan pengguna.

Beliau berkata, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof baru-baru ini menyatakan kerajaan ketika ini sedang meneliti impak pengurangan tol dan cadangan untuk pemberian diskaun sama kepada lebuhraya lain juga akan dibincangkan Kabinet.

Mustapa berkata, kajian semula menumpukan usaha menambah baik perjanjian, dengan menambah beliau tidak dapat memberikan maklumat lanjut susulan perbincangan masih berlangsung.

Pengguna kenderaan yang menggunakan lebuhraya diselia PLUS Malaysia Bhd itu menikmati penurunan kadar tol sebanyak 18% sejak 31 Januari.

Lebuh raya terlibat adalah Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya Utara-Selatan, Link Kedua Malaysia-Singapura, Lebuhraya Pantai Barat Fasa 2, Lebuhraya Butterworth-Kulim dan jambatan Pulau Pinang.