Kebanyakan daripada 101 projek runding terus ditandatangani pada zaman BN, kata Guan Eng

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata, projek rundingan terus bernilai RM6.28 bilion yang dianugerahkan di bawah kerajaan BN terpaksa diteruskan atau diambil alih oleh PH.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng hari ini berkata, kebanyakan daripada 101 projek runding terus yang konon diluluskan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dibuat semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum itu.

Dalam sidang media di Parlimen beliau berkata, berdasarkan senarai dikemukakan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam, projek runding terus yang dianugerahkan di bawah PH hanya bernilai kira-kira RM352 juta.

Beliau berkata, bakinya sebanyak RM6.25 bilion merupakan projek runding terus yang dianugerahkan di bawah BN yang terpaksa diteruskan atau diambil alih oleh PH.

Katanya, daripada RM352 juta, RM170 juta atau 48% adalah untuk projek membina, mengoperasi dan menyelenggara stesen pemindahan sisa pepejal baru di Taman Beringin, Jinjang Utara.

Katanya, projek itu dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diketuai Zuraida Kamaruddin.

“Mungkin lebih baik jika menteri yang terlibat ahli Parlimen Ampang yang begitu lantang menafikan penawaran sebarang kontrak rundingan terus, boleh menjelaskan apa sebabnya projek ini ditawarkan secara runding terus,” kata Lim.

Sementara itu, beliau berkata terdapat 5 projek bernilai RM4.48 bilion yang ditawarkan oleh kerajaan BN sebelum PH menjadi kerajaan, di mana Zafrul memasukkannya dalam senarai itu.

Mengulas beberapa projek, beliau berkata terdapat projek Menaiktaraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Berkembar Elektrik Di Lembah Kalng Fasa 2 (KDVT2) bernilai RM4.48 bilion, yang pada mulanya ditawarkan kepada syarikat tersebut dengan harga RM5.265 bilion.

PH kemudian membatalkan kontrak itu kerana harga terlampau tinggi. Lim menjelaskan, kerajaan merunding semula kontrak tersebut dan meneruskannya dengan harga lebih rendah iaitu RM4.475 bilion, selepas rayuan dibuat oleh Dhaya Maju dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) supaya kerajaan menyambung kontrak tersebut.

Beliau berkata, ada 4 lagi projek lain bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bernilai RM8.18 juta yang dijalankan sebelum April 2018 iaitu ketika BN masih memerintah.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menyebut 31 daripada 101 projek disenaraikan, berjumlah RM1.753 bilion merupakan projek diwarisi daripada kerajaan BN terdahulu.

“Semua kontrak itu merupakan sambungan atau penambahbaikan bekalan dan perkhidmatan yang diwarisi daripada kerajaan BN. Kontrak tersebut juga selalunya melibatkan perkhidmatan atau bekalan yang memerlukan kepakaran tertentu atau monopoli.”

Selain itu, Lim juga mempertahankan beberapa projek runding terus lain seperti RM70 juta diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mencetak buku teks sekolah rendah, dan juga ‘Operasi Bersepadu Penyakit Rabies’ bernilai RM2.98 juta di Sarawak di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Katanya, projek seperti itu adalah keadaan khas yang melibatkan minat pelajar dan rakyat Sarawak.

Lim berkata, senarai itu mendedahkan beberapa kementerian sebelumnya yang diketuai oleh menteri Perikatan Nasional (PN) kini juga meminta projek runding terus, termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yasin (RM517.7 juta), Zuraida (RM170.8 juta), Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali (RM1.2 juta) dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun (RM7.36 juta).

Katanya, Zafrul harus bersikap telus dalam mendedahkan rundingan terus yang diluluskan oleh beliau sendiri, selain daripada yang diberikan di bawah BN.

“Zafrul harus buktikan semua projek rundingan terus yang diluluskan oleh beliau adalah teratur dan berkepentingan umum,” katanya.