Kerajaan Perak terus gagal serah pejabat ketua pembangkang, kata DAP

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan ketua pembangkang DUN Perak Abdul Aziz Bari.

PETALING JAYA: Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming mendakwa kerajaan negeri masih gagal menyerahkan pejabat khas yang terletak di bangunan Perak Darul Ridzuan kepada ketua pembangkang Perak baru, Abdul Aziz Bari yang berhak mendapatnya.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, perkara itu sudah berlarutan hampir 4 bulan selepas pelantikan Aziz.

“Tiada kakitangan, tiada peralatan pejabat, tiada kereta rasmi, tiada gaji dan elaun seperti mana diperuntukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada ketua pembangkang dari Umno Saarani Mohamad pada tahun 2018,”katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kelewatan dan sikap tidak bertanggungjawab ditunjukkan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) adalah satu penghinaan besar terhadap institusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

“Saya menggesa kerajaan negeri Perak mengambil tindakan segera mengatasi masalah ini supaya sistem demokrasi negara kita tidak terus dicemar oleh amalan diskriminasi yang kurang matang dan jelas melanggar doktrin pengasingan kuasa,”katanya.

Aziz juga turut membidas kerajaan negeri atas kegagalan menyediakan kemudahan pejabat dan kenderaan rasmi kepada beliau.

Adun Tebing Tinggi berkata, beliau belum diberikan kebenaran menggunakan pejabat ketua pembangkang di bangunan berkenaan atau diberikan kenderaan rasmi.