Kerajaan tak perlu beri alasan tarik balik RUU, kata Takiyuddin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata bawah Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, jelas menyatakan ahli yang menjaga sesuatu RUU boleh berdiri di tempatnya dan minta menarik balik RUU itu.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan menegaskan kerajaan tidak perlu memberi sebarang sebab dan alasan mengenai penarikan balik Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) berkaitan perjawatan perdana menteri.

Takiyuddin berkata, bawah Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, jelas menyatakan ahli yang menjaga sesuatu RUU boleh berdiri di tempatnya dan minta menarik balik RUU itu.

“…atau hendak menangguhkan ke peringkat 1 lagi RUU itu sama ada sebelum dimulakan urusan mesyuarat atau apabila sampai kepada RUU itu di dalam aturan urusan mesyuarat.

“Tidak ada dinyatakan apabila kerajaan ingin menarik balik satu-satu RUU perlu diberikan sebab kenapa ia perlu ditarik balik,” katanya menjawab usul dibangkitkan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai perkara itu selepas sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin berkata bahawa keputusan cadangan pindaan Perlembagaan itu dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk bacaan kali pertama pada 3 Dis 2019.

“Cadangan pindaan kepada Perlembagaan itu telah dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan sehingga bacaan kali pertama (3 Dis 2019) … oleh perdana menteri yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun dan 22 bulan,” katanya.

Namun, melalui pindaan yang dicadangkan itu, seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai perdana menteri bagi tempoh 2 penggal, katanya.

Beliau menjelaskan demikian susulan usul dibawa Sim mengenai Peraturan Mesyuarat 14 yang mahu Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon, meminta menteri memberi penjelasan mengenai penarikan semula RUU berkenaan.

Semalam, Takiyuddin menarik balik RUU itu daripada dibentang untuk bacaan kali ke-2 dan ia dibuat bawah Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, selepas sesi soal jawab persidangan.

Pindaan Perlembagaan Fasal 2 itu bertujuan menggantikan perenggan (a) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan peruntukan bagi kriteria tambahan berhubung kelayakan ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Melalui pindaan yang dicadangkan itu, seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai perdana menteri jika pernah memegang jawatan berkenaan bagi tempoh 2 penggal Parlimen.