Kerajaan tidak bercadang had tempoh jawatan PM 2 penggal

Menteri Undang-undang dan Parlimen Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan setakat ini tidak berhasrat meminda perlembahaan persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 2 penggal.

“Dalam perkara itu (had jawatan PM 2 penggal) setakat ini tidak,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertayaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta kerajaan menjelaskan mengapakah rang undang-undang (RUU) untuk meminda perlembagaan supaya jawatan perdana menteri ditetapkan tidak melebihi 2 penggal ditarik balik’

Beliau juga bertanyakan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahu meneruskan cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 2 penggal.

Langkah mengehadkan jawatan perdana menteri kepada 2 penggal itu diperkenalkan oleh Pakatan Harapan (PH) melalui pembentangan rang undang-undang (RUU) bagi meminda perlembagaan persekutuan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 3 Disember tahun lalu.

Menjawab isu yang dibangkitkan oleh Sim, Takiyuddin berkata, Peraturan Mesyuarat 62 yang digunakan bagi menarik balik RUU itu tidak menetapkan kerajaan perlu memberi penjelasan atas keputusan itu.

“Peraturan ini jelas menggariskan bahawa ahli yang menjaga sesuatu RUU boleh berdiri di tempatnya dan meminta menarik balik RUU itu atau menangguhkan ke peringkat satu lagi.

“(Penarikan) RUU (boleh dibuat) sama ada sebelum dimulakan urusan mesyuarat atau apabila sampai pada perkara itu (RUU) dalam aturan urusan mesyuarat.

“Tidak dinyatakan bahawa apabila kerajaan ingin menarik balik sesuatu RUU, maka perlu diberikan sebab kenapa ia perlu ditarik. Namun keputusan untuk memasukkan cadangan pindaan perlembagaan persekutuan diputuskan dan dibawa oleh kerajaan PH sehingga bacaan kali pertama.

“Sebagaimana kita tahu, (pembentangan RUU ini dibuat) oleh yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun 22 bulan untuk mengehadkan tempoh memegang jawatan perdana menteri,” katanya merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad.

Semalam rang undang-undang yang mencadangkan seorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh menjadi perdana menteri lebih daripada 2 penggal ditarik balik sewaktu persidangan Dewan Rakyat.

Penarikan itu dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.