Parlimen bahas isu ‘peta Sabah dalam pasport Filipina’

Dewan Rakyat meluluskan usul tergempar dibentangkan ahli Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong hari ini (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul tergempar dibentangkan ahli Parlimen Batu Sapi dari Warisan Liew Vui Keong untuk membahaskan cadangan Filipina memasukkan peta Sabah ke dalam pasportnya.

Liew berkata, usul tergempar itu akan dibahas dalam kamar khas Parlimen petang ini.

Beliau berkata, menteri luar negeri akan hadir untuk menyatakan pendirian Wisma Putra berhubung isu itu dan bagaimana untuk memberi respons terhadap tindakan Filipina itu yang dianggapnya sebagai “provokatif”.

“Tindakan kerajaan Filipina itu amat provokatif dan tidak bertanggungjawab dan mempunyai kecenderungan untuk mengganggu ketenteraman di Sabah dan mengancam keharmonian Malaysia secara keseluruhannya.

“Sabah adalah asas pembentukan Malaysia pada 1963 dan bukan sebahagian daripada Filipina. Filipina tidak mempunyai tuntutan yang sah terhadap Sabah,” katanya.

Liew menggariskan kepentingan untuk membincangkan tindakan Manila itu, dengan mengatakan ia tidak boleh dipandang ringan kerana berkaitan kedaulatan Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya dan Malaysia perlu tegas.

Cadangan Filipina yang diluluskan jawatankuasa hal ehwal luar negeri minggu lalu mencadangkan peta Filipina yang menunjukkan zon ekonomi eksklusif seluas 200 batu dan Sabah, akan dicetak dalam pasport negara itu.

Susulan itu, Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal menuntut kementerian luar negeri memberi amaran keras kepada Filipina.

Shafie berkata, cadangan itu melanggar kedaulatan Sabah dan Wisma Putra sepatutnya memanggil duta Filipina di Kuala Lumpur untuk menjelaskan perkara itu.