Pemegang taruh sifat RUU periksa salah laku polis lemah, cacat

Kerajaan membentangkan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Polis bagi menggantikan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis yang dicadangkan oleh kerajaan sebelum ini.

PETALING JAYA: Pemegang taruh membidas Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Polis (IPCC) yang dibentangkan di Parlimen semalam bagi menggantikan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang diusulkan kerajaan lepas.

M Ramachelvam, pengerusi pasukan petugas IPCMC Majlis Peguam menyifatkan RUU itu “sangat cacat”, dan berkata, Parlimen “tidak patut meneruskan” dengan meluluskannya.

“Ini mengurangkan kuasa yang diberikan di bawah RUU sebelum ini,” katanya.

Ramachelvam mempersoalkan penghapusan kuasa penyiasatan dan pencegahan yang terdapat dalam IPCMC, dengan berkata, suruhanjaya yang diusulkan sekarang ini hanya boleh bertindak apabila kejadian salah laku yang dirujukkan kepadanya.

M Ramachelvam

Beliau juga berkata sekatan terdahulu terhadap anggota dan bekas anggota polis menjadi sebahagian daripada suruhanjaya itu kini dihapuskan dalam IPCC.

“Ini bermakna seorang anggota polis yang sedang berkhidmat atau sudah bersara boleh menjadi anggota suruhanjaya, ini memberi kesan ke atas kebebasan dan kesaksamaannya,” katanya.

Sementara itu, Sevan Doraisamy, pengarah eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata, mereka “terkejut” dengan RUU itu, sekali gus menyifatkannya ” sebagai usaha untuk mengetepikan rundingan dan cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (yang mengkaji IPCMC).”

Beliau menyifatkannya sebagai contoh kerajaan Perikatan Nasional (PN) “membazirkan sumber awam, dana dan masa,” dan menambah bahawa RUU itu memiliki “kelemahan serius yang akan merosakkan fungsi IPCMC/IPCC dan menjadikannya tidak relevan sama sekali, selain membazirkan dana awam”.

Ini termasuklah peruntukan yang membolehkan pegawai polis menolak untuk menjawab kepada suruhanjaya jika perkara itu akan mensabitkan pegawai lain, serta penolakan untuk mendedahkan maklumat atas alasan keselamatan negara.

RUU itu juga menghendaki suruhanjaya memberikan notis awal sebelum mengunjungi pusat tahanan, yang menimbulkan kebimbangan berikutan isu layanan terhadap tahanan kerap dibangkitkan.

Sevan Doraisamy

Sevan menggesa kerajaan menerima cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen kerana langkah terbaru ini “pasti akan gagal” dan “akan hanya mencemarkan reputasi polis dan mengesahkan ketidakpercayaan orang awam terhadap pasukan itu”.

Ramachelvam bersetuju dan berkata, kerajaan perlu menarik semula RUU tersebut dan mengembalikannya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, selain mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak pemegang taruh.

“RUU sekarang tidak akan membawa pembaharuan yang diperlukan dalam pasukan polis,” katanya.