Peta Sabah dalam pasport Filipina: Polemik sengaja diulang ahli politik negara itu untuk raih sokongan politik

Timbalan Menteri Luar Negeri Kamarudin Jaafar berkata tuntutan terhadap Sabah oleh Filipina tidak berasas dan tidak relevan kerana Sabah merupakan negeri dalam Persekutuan Malaysia seperti termaktub dalam laporan Suruhanjaya Cobbold bertarikh 1 Ogos 1962.

KUALA LUMPUR: Cadangan memasukkan Sabah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) sejauh 200 batu ke dalam peta pasport Filipina bukan langkah terbaharu atau pendirian rasmi kerajaan negara itu, kata Timbalan Menteri Luar Negeri Kamarudin Jaafar.

Beliau berkata, perkara itu merupakan cadangan anggota Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan Filipina untuk mewujudkan rang undang-undang gantian bagi meminda, mengganti atau memansuhkan Akta Pasport Filipina 1996.

“Kementerian ini sedang memantau rapi perkembangan cadangan Rang Undang-Undang Dewan 6399 oleh ahli Dewan Perwakilan Filipina ini.

“Cadangan yang dikemukakan itu bukanlah pendirian rasmi kerajaan Filipina, ia adalah polemik yang sengaja diulang dari ahli politik Filipina bagi tujuan hanya untuk meraih sokongan politik domestik Filipina semata-mata,” katanya ketika menggulung usul Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, kerajaan sedang mempertimbang beberapa opsyen sebagai reaksi balas berdasarkan perkembangan situasi atau status cadangan rang undang-undang itu.

“Kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas. Opsyen yang ada pada kita tidak hanya terbatas kepada tindakan-tindakan yang kita telah ambil sebelum ini (kemuka nota bantahan, mengeluarkan kenyataan media atau memanggil Duta Besar Filipina ke kementerian),” katanya.

Kamarudin berkata, negara tidak akan berkompromi dan mengiktiraf sebarang bentuk tuntutan oleh mana-mana pihak asing ke atas Sabah.

Beliau turut menegaskan isu tuntutan terhadap Sabah oleh Filipina adalah tidak berasas dan tidak relevan kerana Sabah merupakan negeri dalam Persekutuan Malaysia seperti termaktub dalam laporan Suruhanjaya Cobbold bertarikh 1 Ogos 1962.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada 14 Sept 1963, setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan kepada perhimpunan agung PBB bahawa rakyat Sabah memilih untuk menyertai Malaysia manakala pada 16 Sept 1963, Sabah menyertai Persekutuan Malaysia secara rasmi.

Terdahulu, Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) membawa usul bagi Dewan Rakyat membahaskan isu kemasukan Sabah dan EEZ sejauh 200 batu sebagai sebahagian daripada peta pada muka hadapan pasport Filipina dengan tujuan menekan dan menegaskan tuntutan negara itu ke atas Sabah.