Amanjaya bawah Temco tengah malam ini, kata Ismail

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (Temco) dilaksanakan di Amanjaya, Kedah, susulan kes Covid-19 di negeri itu.

PETALING JAYA: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini bersetuju melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (Temco) di Amanjaya, Kedah susulan kes Covid-19 di negeri itu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam pada 28 Ogos hingga tempoh dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kelak.

“PKPD secara pentadbiran ini melibatkan 22,360 individu, juga 265 rumah. Semua individu akan disaring petugas KKM,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ismail berkata, penduduk di zon terbabit iaitu Kenanga, Mawar dan Melur tidak dibenarkan keluar manakala orang luar tidak dibenarkan memasuki zon berkenaan.

“Polis bersama tentera akan melaksanakan sekatan jalan raya dan kawalan di jalan keluar masuk zon terlibat,” katanya.

Katanya, individu yang perlu keluar bekerja juga tidak dibenarkan keluar dari kawasan sepanjang tempoh Temco itu dilaksanakan.

“Majikan diminta mengambil maklum perintah ini dan membenarkan mereka yang terlibat untuk bekerja dari rumah. Bahkan, tempat awam seperti masjid, rumah ibadat serta sekolah dan taska turut diarahkan tutup,” katanya.

Beliau berkata, hanya perniagaan menyediakan perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan beroperasi seperti premis menyediakan perkhidmatan makanan, kedai makan, kedai runcit dan warung serta stesen minyak, farmasi, klinik serta hospital.

“Premis perniagaan lain dan kilang dilarang beroperasi. Restoran, kedai makan hanya boleh menggunakan kaedah ‘take away’ sahaja dan boleh beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

“Manakala, klinik dan hospital dibenarkan beroperasi 24 jam, waktu operasi farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan dibenarkan hingga 8 malam sahaja,” katanya.

Ismail berkata, hanya ketua keluarga atau seorang dari sebuah rumah sahaja dibenarkan keluar bagi tujuan pembelian barang makanan atau keperluan keluarga.

“Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu,” katanya.