RUU baharu siasat salah laku polis lemah, kata Suhakam

Suhakam menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 tidak merangkumi intipati RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 serta syor Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia 2005.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menzahirkan kebimbangan dengan kurangnya kebebasan dan kelemahan fungsi Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020.

Dalam kenyataan hari ini, suruhanjaya itu turut menyifatkan RUU IPCC 2020 tidak merangkumi intipati RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 serta syor Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia 2005.

Suhakam turut menjelaskan RUU baharu itu tidak diberikan kuasa tatatertib bagi menangani salah laku polis.

Suhakam menegaskan, setiausaha IPCC akan dilantik oleh menteri dalam negeri dan pegawai IPCC juga dilantik secara pinjaman dari agensi kerajaan untuk menjadi pegawai penyiasat.

“Tambahan pula penurunan kuasa IPCC kepada mana-mana anggota pasukan polis boleh membawa kepada isu konflik kepentingan dari aspek fungsi yang dinyatakan dalam RUU serta kebebasan IPCC.

“Oleh itu, Suhakam menegaskan seruannya untuk penubuhan badan bebas bagi meningkatkan akauntabiliti pasukan polis dan menyediakan sistem semak dan imbang sebagai mekanisma pengawasan,” katanya.

Suhakam berharap ahli Parlimen akan meneliti dan menambah baik RUU itu supaya harapan rakyat untuk penubuhan badan bebas bagi meningkatkan akauntabiliti polis tercapai.

Beberapa pemegang taruh membidas keputusan pembentangan RUU IPCC dengan Pengerusi Petugas Khas Majlis Peguam IPCMC, M Ramachelvam menyifatkannya sebagai “penuh kecacatan”.

“RUU itu telah mengurangkan kuasa diperuntukkan bawah RUU terdahulu,”katanya.