Selamat tinggal PPBM, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan itu akan menyebabkan PPBM tidak mempunyai tempat untuk bertanding di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

PETALING JAYA: Bekas Pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad mengucapkan selamat tinggal kepada parti itu susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno memutuskan bertanding di semua kawasan ditandingi PPBM termasuk ahli Parlimennya yang berpaling tadah.

Mahathir berkata, keputusan itu akan menyebabkan PPBM tidak mempunyai tempat untuk bertanding di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang. Bahkan mendakwa perjuangan PPBM ketika ini adalah untuk mendapatkan wang.

“Juga Umno akan bertanding di mana mereka kalah sedikit atau tempat yang ke-2 dari segi jumlah undi. Jadi PPBM hendak bertanding di mana. Jawab menteri dan timbalan menteri PPBM, mereka dapat gaji dan elaun besar. Setakat PRU15 pun tidak apalah. Dapat juga. Keluar tidak dapat apa.

“Inilah politik Malaysia sekarang. Tidak ada yang lebih mudah dapat duit daripada melalui politik. Soal apa jadi pada bangsa, pada negara, pada agama pun, itu soal lain bukan soal orang politik. Boleh dapat hingga 2 bilion ringgit dari politik,” kata Mahathir di blognya hari ini.

Terdahulu, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Zahidi Zainul Abidin berkata, pimpinan parti itu memutuskan Barisan Nasional (BN) akan bertanding di kerusi, yang mana ahli Parlimennya berpaling tadah selepas menang pada PRU14 lalu.

Zahidi berkata, jika PPBM mahu bertanding pada PRU15 akan datang, parti itu boleh bertanding di kerusi lain termasuk kerusi ditandingi “blackout”, merujuk kepada kerusi ditandingi pemimpin daripada kem Mahathir.

Mahathir berkata, soal kejatuhan kerajaan akibat tindakan pemimpin yang melompat parti juga bukan 1 masalah, memandangkan menurutnya walaupun rakyat kecewa tetapi rakyat juga mudah lupa mengenai tindakan pemimpin politik ini.

“Ada yang berkata biarlah, tidak perlu ada orang yang hendak cuba perbaiki keadaan. Bukan duit kita. Kalau penyangak jadi kerajaan apa salahnya. Semua kerajaan di mana-mana pun penyangak. Apa hendak malu. Kadang-kadang tempias sedikit rezeki kepada kita. Terima sahajalah.

“Bodohlah, jika pegang kepada perjuangan asal parti. Prinsip tidak penting. Politik penting, lebih untung. Jadi, apa yang engkau tanam itulah yang engkau tuai. Selamat tinggal PPBM,” katanya.