Siaran langsung Piala Dunia dibayar sepenuhnya penaja, kata Guan Eng

Lim Guan Eng menjelaskan perkara itu susulan senarai yang memperincikan 101 projek dikatakan diberikan melalui runding terus oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata rakyat dapat menyaksikan siaran langsung Piala Dunia FIFA 2018 kerana ia ditaja sepenuhnya oleh pihak swasta.

Beliau menjelaskan perkara itu susulan senarai yang memperincikan 101 projek dikatakan diberikan melalui runding terus oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mengikut senarai dikeluarkan oleh penggantinya Tengku Zafrul Aziz projek itu bernilai RM29.9 juta.

“Itu pun menteri kewangan sengaja jadikan isu sebagai projek rundingan terus PH padahal kerajaan tak perlu bayar 1 sen, malah kerajaan dapat untung bersih RM3.3 juta.

“Takkan dapat tonton Piala Dunia 2018 secara percuma ditambah pula untung RM3.3 juta, pun nak salahkan Lim Guan Eng? katanya melalui catatan di Facebooknya malam ini.

Lim turut berkongsi pautan laporan berita untuk menyokong hujahnya.

Menurut laporan Malaysiakini, Maxis Bhd dan AirAsia Bhd adalah penaja utama siaran langsung kejohanan diadakan di Rusia itu.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini mempersoalkan kos projek bernilai RM29.9 juta itu dan apa berlaku kepada dana berkenaan.

“Mungkin wang itu digunakan untuk membayar hak siaran langsung melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia, itulah sebabnya ia disenaraikan sebagai perolehan kerajaan,” katanya.