Tak perlu politik projek runding terus, kata Tengku Zafrul

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perolehan projek kerajaan secara rundingan terus diperuntukkan di bawah undang-undang dan tidak perlu dipolitikkan. 

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, tidak perlu dipolitikkan isu projek kerajaan yang dianugerahkan secara rundingan terus.

Beliau berkata, perolehan projek kerajaan secara rundingan terus diperuntukkan di bawah undang-undang.

Tengku Zafrul menjelaskan, beliau selaku individu bertanggungjawab terhadap isu perbendaharaan negara hanya menjawab soalan dikemukakan ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan.

Menurutnya, Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 membenarkan rundingan terus, sekali gus tiada sebab untuk perkara itu dipolitikkan.

“Selepas saya menjawab isu itu (di Parlimen), banyak permintaan daripada beberapa pihak (supaya) senarai projek tersebut dikeluarkan.

“Jadi, atas dasar ketelusan, saya buat keputusan untuk keluarkan senarai tersebut dan ia berdasarkan fakta.

“Ia bukan atas sebab siapa yang runding, (atau) bilakah ia ditandatangani. Kalau kita lihat, itu adalah data dan fakta menunjukkan LOA (Surat Anugerah) ditandatangan semasa PH (menjadi kerajaan).

“Jadi, itu sahaja yang ingin saya sebut, dan ini tidak perlu dipolitikkan. Ini fakta sahaja,” katanya kepada media selepas melancarkan Dana Penjana Nasional di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini.