Tiada konflik langsung dengan Beijing dalam isu Laut China Selatan, kata Dr M

Kapal pengangkut pesawat China diiringi kapal frigat dan kapal selam di Laut China Selatan. (Gambar AP).

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada sebarang konflik secara langsung dengan China berhubung tuntutan negara itu terhadap kepulauan di Laut China Selatan.

Mengakui bahawa China menuntut sebahagian kepulauan dan beting pasir di perairan itu, beliau berkata, Beijing tidak pernah menuntut mana-mana kepulauan milik Malaysia.

“Jadi kita tidak mempunyai sebarang konflik secara langsung dengan mereka (China),” katanya dalam satu wawancara bersama India Today.

Mahathir berkata, Malaysia tidak berada pada kedudukan untuk mengambil tindakan kritikal terhadap Beijing berhubung isu Laut China Selatan, walaupun Putrajaya mempunyai hak mengkritik.

“Kami adalah negara kecil. Kami perlu terus hidup. Kami mempunyai jiran yang sangat berkuasa. Sekiranya kami mengumpulkan sejumlah negara di rantau ini untuk berdepan dengan negara-negara berkuasa, kami akan mengundang masalah.

“Adalah lebih baik kami menangani masalah itu ikut kemampuan kami. Kami boleh menjadi mesra dengan kuasa-kuasa besar ini atau kami juga boleh mengkritik,” katanya.

Beliau berkata, tidak timbul masalah berhubung kapal China meronda perairan Laut China Selatan, tetapi menegaskan isu hanya timbul sekiranya kapal perang ditempatkan di situ.

“Semua kapal, kapal perang atau tidak, boleh melalui perairan berkenaan dengan bebas. Namun tindakan menahan kapal untuk tujuan pemeriksaan dan sebagainya tidak sepatutnya berlaku.”

Perkara sama juga ditujukan Dr Mahathir terhadap kapal perang Ameriak Syarikat yang boleh melalui Laut China Selatan, tetapi tidak wajar ditempatkan di perairan itu kerana boleh mencetuskan provokasi.

Beliau mengulangi bahawa kewujudan kapal perang dari mana-mana negara di perairan berkenaan adalah tidak baik kerana memboleh membawa kepada insiden yang boleh mencetuskan konflik.

Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam terbabit menuntut sebahagian daripada Laut China Selatan, manakala Beijing menuntut keseluruhan perairan itu.

Persaingan bagi menuntut perairan berkenaan, yang membabitkan kawasan perdagangan penting dan merangkumi kawasan perikanan yang kaya, menjadikannya kawasan yang berpotensi mencetuskan konflik.

China dan Asean, dengan 4 negara anggotanya merupakan negara yang membuat tuntutan, kini berbincang bagi mewujudkan tatakelola di perairan berkenaan.