Tiada rundingan gabung MAB, AirAsia, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata syarikat penerbangan dijangka memerlukan tempoh hingga 18 bulan bagi sektor domestik manakala sektor antarabangsa hingga 3 tahun untuk pulih sepenuhnya daripada impak Covid-19.

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang rundingan membabitkan cadangan penggabungan antara Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan AirAsia Bhd, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah.

Sebaliknya, beliau berkata idea penggabungan kedua-dua syarikat penerbangan itu hanya di peringkat perancangan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai status terkini penggabungan Malaysia Airlines dan AirAsia di Dewan Rakyat hari ini.

Idea penggabungan MAB dan AirAsia itu dibangkitkan April lalu dan dianggap antara pilihan untuk menyelamatkan kedua-dua syarikat yang terkesan akibat Covid-19.

Namun, pada Julai Khazanah Nasional Bhd yang juga pemilik penuh MAB berkata sebarang penggabungan seumpamanya sukar dilaksanakan atas alasan model perniagaan dan budaya kerja berbeza.

Terdahulu, Hasbi berkata berkata syarikat penerbangan dijangka memerlukan tempoh hingga 18 bulan bagi sektor domestik manakala sektor antarabangsa hingga 3 tahun untuk pulih sepenuhnya daripada impak Covid-19.

Menjawab pertanyaan Syed Ibrahim mengenai perancangan kerajaan dalam merancakkan pemulihan sektor penerbangan yang terjejas teruk pasca Covid-19, beliau berkata penularan pandemik itu terbukti menjejaskan industri penerbangan negara dengan statistik menunjukkan trend penurunan jumlah penumpang domestik dan antarabangsa sejak 1 Mac lalu.

Permintaan penumpang berkurangan daripada 280,321 sehari pada Januari lalu kepada hanya 7,500 sehari bagi Mei tahun ini.

“Berdasarkan unjuran senario trafik penumpang Malaysia tahun ini, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjangkakan jumlah tempat duduk perkhidmatan penerbangan penumpang akan berkurangan kepada 54.3 juta hingga 56 juta.

“Ini bersamaan dengan penurunan sebanyak 48.7% sehingga 50.3% pada Jun 2020,” katanya yang menambah Mavcom akan menyemak semula unjuran sektor penerbangan itu berdasarkan perkembangan semasa.