2 projek runding terus dirujuk semula untuk pembatalan, kata Fadillah

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata 2 projek diterima Kementerian Kerja Raya (KKR) secara runding terus bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dirujuk semula kepada Kementerian Kewangan untuk pembatalan dan penilaian semula perlu dibuat supaya tender terbuka ditawarkan.

PETALING JAYA: Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata, 2 projek diterima Kementerian Kerja Raya (KKR) secara runding terus bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dirujuk semula kepada Kementerian Kewangan untuk pembatalan dan penilaian semula perlu dibuat supaya tender terbuka ditawarkan.

“Dua projek dikeluarkan Surat Niat (LOI – Letter of Intent) iaitu melibatkan 2 jambatan di Baram dan Lubok Antu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah berkata senarai projek rundingan terus bawah kerajaan PH yang ada pada KKR adalah projek yang diberikan kelulusan untuk rundingan terus pemerintahan PH, ada yang belum dikeluarkan surat tawaran, dan masih dalam perundingan.

“Saya ingin menjelaskan kenyataan saya pada pagi Rabu 26 Ogos 2020, mengenai kewujudan projek bawah KKR yang diluluskan perolehan secara rundingan terus sewaktu pentadbiran kerajaan PH.

“Senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion dikeluarkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, Rabu lalu adalah merujuk kepada projek yang dikeluarkan tawaran dan dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata, antara projek terlibat dalam rundingan terus pada zaman PH bawah kementeriannya ialah Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 1 (RM1.2 bilion) dan 2 pakej Central Sprine Road (CSR) iaitu Pakej 4A dan 4B (RM808. 8juta).

Katanya, 2 projek lagi adalah sekolah daif di Sarawak (RM27.1 juta) dan 2 jambatan (Baram dan Lubok Antu) di Sarawak (RM9 juta).

Katanya, KKR bawah kerajaan hari ini konsisten dalam menghormati keputusan yang dibuat oleh kerajaan PH seperti penamatan perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) Pan Borneo.

“Pada masa sama ada juga keputusan untuk rundingan terus yang diputuskan oleh pentadbiran kerajaan terdahulu dirujuk kembali kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan agensi pusat berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Tengku Zafrul mengeluarkan perincian 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang didakwa diberikan melalui runding terus bawah pentadbiran PH.