36 pesakit sembuh Covid-19

PETALING JAYA: Sebanyak 10 kes baru Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 36 pesakit sembuh hari ini.

Jumlah kematian kekal 125 orang kerana tiada kematian dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam kenyataannya, 8 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 6 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Setakat ini, Malaysia melaporkan 9,306 kes Covid-19 dengan 9,030 daripadanya sudah sembuh.

Ketika ini, 151 pesakit Covid-19 dirawat di seluruh negara.

Berkenaan 10 kes baru itu, Hisham melaporkan 8 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan seorang warganegara dan 7 bukan warganegara.

“8 kes import tersebut adalah dari negara India (5 kes di Kuala Lumpur, 2 kes di Selangor) dan Filipina (1 kes di Sarawak),” katanya.

Selebihnya adalah kes penularan dalam negara, dengan 1 kes melibatkan seorang warganegara.

“Kes warganegara Malaysia yang dikesan di Kedah adalah daripada saringan bergejala.

“Manakala kes bukan warganegara yang dikesan di elangor adalah kes saringan tahanan yang merupakan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) dari Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hisham berkata sehingga semalam, daripada 106,793 pengembara tiba di Malaysia, sebanyak 904 kes dikesan positif.

Daripada jumlah tersebut, 3 negara yang mencatatkan kes tertinggi adalah Indonesia (295 kes), Mesir (93 kes), dan Singapura (70 kes).

“Malaysia akan terus memperketatkan aktiviti kesihatan awam yang dijalankan di pintu masuk antarabangsa (PMA) negara bagi memastikan jangkitan Covid-19 di luar negara dapat disekat,” katanya.