Annuar arah maklum kepada pemilik tanah selepas pelan Kg Baru sukar diteruskan

Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Semua pemilik tanah Kampung Baru akan dipanggil untuk dimaklumkan perkembangan terkini pelan konsep pembangunan Kampung Baru 2019 pembangunan Kampung Baru selepas rancangan itu didapati amar sukar diteruskan.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) diarah membuat pemaklumkan itu kerana tidak mahu pemilik tanah yang bersetuju berharap projek itu diteruskan.

“Orang Kampung Baru kena diberitahu sukar diteruskan sebab ada dalam kalangan mereka yang menanti,” katanya pada sidang media sempena pelancaran laluan baru bas GoKL di PPR Kg Batu Muda hari ini.

Sebelum ini, PKB memaklumkan pelan itu amat sukar dilaksanakan kerana hanya 61% pemilik tanah bersetuju, walaupun ditawarkan RM1,000 sekaki persegi, iaitu RM850 dalam bentuk tunai dan RM150 dalam bentuk saham di syarikat bertujuan khas.

Selain itu, pelan pembangunan semula itu membabitkan kos anggaran pembelian tanah mencecah RM7.4 bilion, dan kos lain sehingga hampir RM10 bilion.

Annuar hari ini memaklumkan pihaknya sedang menggubal pendekatan baru bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan persetujuan semua pemilik tanah.

“Kita bertanggungjawab mencari jalan lain sebab Kampung Baru wajib dibangunkan…kita harap boleh dibentangkan kepada pemilik tanah dalam sedikit masa lagi,” katanya.

Kampung Baru yang wujud lebih 100 tahun di tengah kota Kuala Lumpur diduduki 5,359 pemilik tanah.

Sebelum ini, menteri berkata antara hal lain yang merumitkan pembangunan semula Kampung Baru adalah dari segi perundangan dan rancangan fizikal.