Beritahu Zafrul jika tak puas hati, bukan saya, Guan Eng beritahu Zuraida

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata Zuraida hendaklah memaklumkan rasa tidak puas hatinya berhubung senarai 101 projek rundingan terus di bawah PH kepada menteri kewangan, bukan dirinya.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin supaya memaklumkan rasa tidak puas hatinya berhubung senarai 101 projek rundingan terus di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Ia adalah senarai Zafrul. Jika tidak puas hati, beliau harus maklumkan kepadanya (Zafrul), bukan saya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini, hari ini.

Zuraida sebelum ini berkata, 2 projek rundingan terus di bawah kementerian beliau semasa pemerintahan PH dibuat tanpa pengetahuannya.

Ahli Parlimen Ampang itu bagaimanapun berkata, kementeriannya akan menyiasat perkara itu yang didedahkan oleh Zafrul semalam.

Lim juga menggesa penggantinya supaya membetulkan senarai tersebut yang kononnya dibuat semasa pentadbiran PH, yang menurutnya merupakan “penipuan semata-mata”.

Beliau berkata, senarai itu merupakan taktik politik kotor terhadap PH, terutama sekali apabila tiada senarai yang sama dikeluarkan bagi projek rundingan terus di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sekarang.

Lim juga berkata, 2 projek harus dikeluarkan daripada senarai tersebut, iaitu siaran langsung Piala Dunia Fifa 2018 oleh RTM dan projek Menaiktaraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Berkembar Elektrik di Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2).