Dana PetroSaudi: Kerajaan ada masalah daftar perintah mahkamah di UK

Gambar Facebook NCA.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu terdapat kesukaran untuk mendaftarkan perintah interim mahkamah bagi menyekat sebarang aktiviti berhubung wang berjumlah US$340,258,246.87 milik PetroSaudi International Ltd (PSI) dan subsidiarinya di mahkamah United Kingdom (UK).

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pihak pendakwaan dimaklumkan mengenai perkara itu menerusi e-mel oleh Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) UK pada 21 Ogos.

“E-mel itu berkenaan mereka (NCA) cuba mendaftarkan perintah tersebut di mahkamah UK. Ada masalah tentang bagaimana perintah itu hendak dikuatkuasakan di UK,” katanya.

Pada 16 Julai, Nazlan membenarkan permohonan kerajaan untuk mendapatkan perintah interim menghalang PSI, pengarahnya Tarek Obaid dan subsidiari PSI, PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Limited (PSOS-VZ), memindahkan wang tersebut yang ada kaitan dengan 1MDB serta disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di UK, ke entiti lain.

Perintah interim itu bagi mengekalkan status quo pihak terlibat sehingga selesai permohonan kerajaan untuk mendapatkan perintah menyekat sebarang urusan membabitkan wang milik PSI da PSOS-VZ yang ketika ini tersimpan dalam akaun eskrow dipegang Clyde & Co Co LLP di UK.

Susulan itu, Izzat meminta hakim menetapkan tarikh lebih awal bagi mendengar permohonan kerajaan tersebut atas alasan sekiranya dibiarkan lebih lama wang mungkin hilang dan akan menimbulkan prejudis pihak pendakwaan.

Peguam Alex Tan yang mewakili PSOS-VZ, berhujah tidak akan wujud prejudis bagi pendakwaan memandangkan tiada pergerakan wang dalam akaun berkenaan.

“Perintah interim itu berkuat kuasa sehingga selesai permohonan utama (permohonan larangan),” katanya.

Peguam Mohd Yusof Zainal Abiden mewakili Tarek Obaid yang juga pengasas bersama PSI.

Hari ini mahkamah dijadualkan mendengar permohonan kerajaan berhubung perintah larangan itu.

Bagaimanapun, Tan berkata mereka perlukan masa untuk menjawab satu lagi isu dibangkitkan pihak pendakwaan dalam afidavit mereka.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Sept ini untuk mendengar permohonan itu yang difailkan kerajaan pada 10 Julai lepas.

Selain wang berjumlah US$340,258,246.87, kerajaan dalam permohonannya turut memohon wang yang tidak dinyatakan jumlahnya yang disimpan dalam akaun bank perantara atas nama Temple Fiduciary Services Limited di Barclays Bank, UK.

Permohonan yang difailkan menurut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) menamakan Tarek, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co dan Temple Fiduciary, masing-masing sebagai responden pertama hingga ke-5.

Pada 19 Ogos, Nazlan membenarkan PSOS-VZ mengeluarkan AS$1.357 juta daripada AS$340,258,246.87 itu selepas membenarkan permohonan syarikat untuk meminda perintah interim yang melarangnya memindahkan wang terbabit ke entiti lain.

PSOS-VZ memohon untuk meminda terma perintah interim tersebut agar sebahagian daripada wang dilepaskan bagi pembayaran perbelanjaan perniagaan dan kos guaman.

Sejumlah AS$1.357 juta dibayar kepada firma guaman Kerman & Co selepas selesai kes timbang tara melibatkan syarikat itu.