Guan Eng lulus 2 projek runding terus KPKT, kata Zuraida

Zuraida Kamaruddin

PETALING JAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin hari ini mendedahkan, 2 projek runding terus diluluskan kementeriannya bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dibuat Lim Guan Eng selaku menteri kewangan ketika itu.

“Semalam, saya sudah katakan saya akan siasat dakwaan dibuat pemimpin PH bahawa 2 projek diluluskan menerusi rundingan terus dalam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Seperti yang dijanji, saya sudah siasat dan mengumumkan apa yang sudah ditemui.

“Saya boleh mengesahkan bahawa rundingan terus ini dilaksanakan oleh bekas menteri kewangan sendiri, iaitu Lim Guan Eng,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz memaklumkan, mendahului senarai projek runding terus adalah Kementerian Pengangkutan dengan nilai perolehan RM4.47 bilion membabitkan 4 projek.

Daripada jumlah itu, 2 projek KPKT membabitkan jumlah RM170.79 juta.

Projek itu merangkumi pemberian kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem kewangan dan perakauan saga yang diberikan kepada syarikat Century Software (Malaysia) Sdn Bhd bernilai RM501,206.37.

Satu lagi projek adalah berkaitan cadangan projek membina, mengoperasi dan menyelenggara stesen pemindahan sisa pepejal baharu di Taman Beringin, Jinjang Utara, Kepong dan Kuala Lumpur bagi menggantikan stesen pemindahan sisa pepejal sedia ada yang diberikan kepada syarikat Bumi Segar Indah Sdn Bhd dengan jumlah RM170,294,400.

Zuraida berkata, tuduhan dilemparkan terhadapnya adalah palsu yang diputar belit pemimpin PH, menuduh rundingan terus membabitkan pemindahan sisa pepejal baharu di Taman Beringin, Jinjang Utara, Kepong dan Kuala Lumpur dilakukan oleh kementeriannya.

Katanya, penasihat kepada syarikat Bumi Segar Indah adalah Tamrin Ghafar, yang merupakan penyokong tegar gabungan PH, bertemu dengan Lim pada 26 Nov 2018.

“Pada pertemuan itu, Lim bukan sahaja berbincang mengenai rundingan semula membabitkan projek ini tetapi turut bersetuju untuk mengurangkan kos yuran asal pada kadar 10% lebih rendah daripada kos sebenar, kononnya mahu menjimatkan wang kerajaan.

“Lim kemudiannya menasihati Bumi Segar Indah untuk mendekati KPKT untuk membentangkan dan lakukan susulan dengan cadangan rasmi tersebut.

“Selepas itu, projek berkenaan diluluskan oleh menteri kewangan, di bawah Lim menerusi surat bertarikh 20 Februari daripada Kementerian Kewangan kepada ketua setiausaha KPKT,” katanya.

Beliau berkata, perkara sama turut berlaku kepada projek perkhidmatan penyelenggaraan sistem kewangan dan perakauan saga yang diberikan kepada syarikat Century Software (Malaysia) Sdn Bhd, yang melibatkan 5 kementerian berasingan, turut diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Saya harap di masa hadapan, ahli politik dari PH dan bekas menteri akan memeriksa fakta sebelum memberikan kenyataan yang mengelirukan orang ramai,” katanya.