Guna media sosial pulih pelancongan, kata menteri

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri di program konvoi Semarak Merdeka Melaka 2020.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyeru rakyat membantu memulihkan industri pelancongan dengan mempromosikan destinasi percutian tempatan melalui penggunaan media sosial.

Bercakap dalam program konvoi Semarak Merdeka Melaka 2020 bagi mempromosikan sektor pelancongan Melaka, menterinya Nancy Shukri mengajak rakyat untuk “bersaing” menghasilkan pengisian dengan menjadi “penyampai cerita” dan “duta” kepada negara.

“Saya dimaklumkan terdapat beberapa personaliti media sosial kini menjadi penyampai cerita dan pencipta pengisian yang mampu membantu membangunkan sektor kebudayaan dan pelancongan.

“Kami berharap penyertaan ramai (dalam media sosial) akan menjadi pemangkin bagi membantu mempercepatkan proses pemulihan industri pelancongan dan ekonomi negara secara keseluruhannya,”katanya.

Nancy mengibarkan Jalur Gemilang bersama para penunggang motosikal yang menyertai program konvoi Semarak Merdeka Melaka 2020.

Program konvoi Semarak Merdeka Melaka 2020, yang memasuki tahun ke-3 penganjuran, bertujuan mempromosi sektor pelancongan di Melaka dan seluruh negara.

Dianjurkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-63, program itu membabitkan 91 pemilik motosikal melawat lokasi tumpuan pelancong merentasi 3 daerah di Melaka bermula 28 hingga 30 Ogos.