Henti pembalakan Ulu Muda, beri RM100 juta, PBA P Pinang beritahu Putrajaya

Sebahagian kawasan berhampiran empangan Pedu di Hutan Simpan Ulu Muda yag dipercayai ditebang untuk balak.

GEORGE TOWN: Syarikat utiliti air Pulau Pinang hari ini menyokong langkah Kedah meminta dana sebanyak RM100 juta daripada Putrajaya untuk melindungi hutan simpan di wilayah utara itu, tetapi berharap syarat tertentu dipenuhi terlebih dahulu.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) berkata, Kedah perlu menamatkan semua konsesi pembalakan di hutan Ulu Muda, selain menandakan 160,000 hektar hutan itu sebagai kawasan tadahan air.

Ini kerana 96% daripada air mentah Kedah, 70% Perlis dan 80% Pulau Pinang diperoleh dari sungai hutan, yang memanfaatkan 4.2 juta penduduk.

“Ulu Muda adalah sumber yang tidak dapat diganti dan sangat diperlukan. Pembalakan akan membawa kesan yang melebihi kesan kemusnahan alam sekitar.

“Paip air akan kering di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang tanpa air mentah yang mencukupi dari Ulu Muda.Ia timbul ketika kita berusaha untuk pulih daripada pandemik yang dihadapi.

“Dengan banyak perkara yang dipertaruhkan, kerajaan persekutuan perlu mengambil kesempatan ini untuk memberi pampasan dan bekerjasama dengan Kedah bagi memastikan negeri ini melindungi Ulu Muda bagi kepentingan Wilayah Ekonomi Koridor Utara dan rakyatnya secara menyeluruh dan kekal,” kata ketua pegawai eksekutif PBA Jaseni Maidinsa dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaannya akan meminta dana RM100 juta daripada Putrajaya untuk membantu memelihara hutan Ulu Muda.

Pada Mei, beliau berkat,a negeri itu perlu membayar ganti rugi sebanyak RM1.5 bilion kepada sekitar 40 pemegang konsesi kayu balak selepas hak mereka untuk nemasuki hutan simpan tetap ditarik balik oleh kerajaan negeri terdahulu di bawah pemerintahan Mukhriz Mahathir.

Sanusi sebelum ini mencadangkan pemberian hutan gantian untuk dituai oleh pemegang konsesi itu.

Namun, kumpulan alam sekitar membantah rancangan itu dengan berkata, ia akan melanggar matlamat melindungi hutan Kedah.