Jangan beri Hadiah Nobel Keamanan kepada penunjuk perasaan HK, kata menteri luar China

(Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Menteri luar negeri China memberi amaran kepada Norway untuk tidak memberikan Hadiah Nobel Keamanan kepada penunjuk perasaan Hong Kong, lapor South China Morning Post.

Sambil menggesa Norway menghargai hubungan kedua-dua negara, Wang Yi berkata hubungan itu boleh diperkuatkan lagi sekiranya Norway “menghormati” China.

“China sekeras-kerasnya menentang sebarang cubaan daripada mana-mana pihak yang mahu menggunakan Hadiah Nobel Keamanan untuk mencampuri urusan dalaman China.

“Kami tidak mahu tengok sesiapa pun mempolitikkan Hadiah Nobel Keamanan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Oslo, Norway semalam.

Kunjungannya ke Norway merupakan lawatan pertama menteri luar China dalam 15 tahun, susulan pembekuan hubungan antara kedua-dua negara selepas Hadiah Nobel Keamanan dianugerahkan kepada pengkritik China, Liu Xiaobo, yang pernah menyertai tunjuk perasaan berdarah di Dataran Tiananmen, Beijing pada 1989.

Sementara itu, Wang cuba menimbulkan keraguan terhadap tempat asal koronavirus, mendakwa banyak kajian menunjukkan penyakit itu boleh dikesan di beberapa tempat berbeza dan kebanyakannya lebih awal daripada kejadian di China.

“Jadi mana sebenarnya asal penyakit itu? Siapa pesakit pertama? Inilah soalan saintifik yang tidak patut dipolitikkan atau distigmakan.”