Laporan: Putrajaya terima bayaran pertama penyelesaian AS$2.5 bilion daripada Goldman Sachs

Pada 24 Julai Goldman Sachs bersetuju menandatangani perjanjian penyelesaian berjumlah hampir AS$4 bilion dengan Putrajaya. (Gambar Bloomberg)

PETALING JAYA: Malaysia menerima sebahagian daripada bayaran penyelesaian AS$2.5 bilion daripada Goldman Sachs semalam.

Akhbar TheEdge melaporkan Putrajaya menerima wang tersebut menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 melalui akaun escrow.

Akaun escrow adalah akaun pihak ke-3 yang boleh memegang aset atau wang bagi pihak 2 entiti yang dalam proses menyempurnakan transaksi antara mereka.

Sumber yang maklum berhubung perjanjian penyelesaian antara Malaysia dan Goldman Sachs bulan lepas mengesahkan perkara itu, menurut akhbar itu lagi.

“Kini kita perlu bekerja dengan Goldman Sachs bagi menjejak aset dan pesalah laku terbabit. Sumber mereka berguna kepada kita,” kata sumber yang enggan dikenali.

Pada 18 Ogos lepas, dilaporkan bahawa kedua-dua pihak bersetuju menandatangani perjanjian penyelesaian.

Sebahagian daripada perjanjian itu, termasuklah bayaran sebanyak AS$2.5 juta dalam tempoh 10 hari perjanjian tersebut dibuat.

Pada 24 Julai dilaporkan bahawa Goldman Sachs bersetuju menandatangani perjanjian penyelesaian berjumlah hampir AS$4 bilion dengan Putrajaya.

Ini termasuk bayaran tunai AS$2.5 bilion dan bakinya dalam bentuk jaminan pemulangan aset bernilai AS$1.4 bilion yang dirampas oleh pihak berkuasa di seluruh dunia sebagai tukaran atas kesediaan Malaysia menarik balik pendakwaan terhadap bank tersebut.

Penyelesaian berkenaan dicapai susulan rundingan selama 5 hari di Kuala Lumpur yang membuka jalan kepada pengumuman yang dibuat pada 24 Julai.