Mahkamah keluar waran tangkap bekas presiden pertubuhan Melayu

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, kerana gagal hadir prosiding komital yang difailkan bekas menteri industri utama, Teresa Kok Suh Sim, terhadapnya.

Peguam Sankara Nair, yang mewakili Kok, memberitahu media keputusan itu dibuat Hakim Rohani Ismail yang bersetuju dengan permohonannya supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap Azwanddin selepas beliau ingkar arahan mahkamah untuk hadir pada prosiding pendengaran permohonan komital berkenaan.

Hakim membuat keputusan dalam kamar. Azwanddin tidak diwakili peguam.

Permohonan komital itu difailkan berikutan Azwanddin melanggar terma penghakiman persetujuan dalam kes saman fitnah dikemukakan Kok terhadapnya yang diselesaikan secara baik tahun lalu.

Azwanddin didakwa gagal mengemukakan permohonan maaf di 3 akhbar serta membayar kos kepada menteri itu dalam tempoh 45 hari bermula daripada tarikh penyelesaian kes pada 29 Julai 2019.

Sankara berkata defendan (Azwanddin) sepatutnya tahu mengenai prosiding hari ini kerana surat pemberitahuan dihantar kepadanya sebelum tarikh pendengaran prosiding komital itu.

“Setiap kali mahkamah memberi tarikh (pendengaran) baharu, beliau (Azwanddin) ingkar pada arahan. Ada sekali beliau hadir (ke mahkamah) dan ada juga beliau kemukakan MC (sijil cuti sakit) dan kadangkala beliau terus diam.

“Kami juga cuba menghubunginya, namun gagal. Saya terpaksa buat permohonan untuk waran tangkap dikeluarkan terhadapnya,” kata peguam itu.

Sankara berkata mahkamah kemudiannya menetapkan 25 Sept untuk mendengar permohonan prosiding komital berkenaan.

Kok, selaku plaintif memfailkan permohonan itu pada 8 Okt tahun lalu. Azwanddin bersetuju mengemukakan permohonan maaf, membayar kos, serta menarik balik ucapan yang diterbitkan semula olehnya di media sosial selepas kes diselesaikan secara baik.

Kok memfailkan saman itu pada 8 Jan 2019, mendakwa Azwanddin sebagai presiden JMM ketika itu menyampaikan ucapan yang antara lain mengandungi perkataan berunsur fitnah secara lisan, fitnah bertulis, dan pembohongan dalam perhimpunan di Dataran Seni Klang, Selangor pada 25 Dis 2018.

Kes saman itu berhubung ucapan dan kenyataan Azwanddin yang didakwa Kok mengaitkannya dalam insiden kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya.