Mahkamah tetapkan 7 Sept dengar permohonan celah bekas ketua hakim negara

Bekas ketua hakim Malaysia Richard Malanjum dan ketua hakim Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah mahu mengamal di Sarawak.

KUCHING: Mahkamah Tinggi Kuching menetapkan 7 Sept untuk mendengar permohonan mencelah daripada Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan untuk mencelah permohonan 2 orang peguam bukan warga Sarawak yang mahu menjadi peguam di negeri itu.

Pendengaran untuk mendengar permohonan 2 peguam itu, iaitu bekas ketua hakim negara, Richard Malanjum, dan bekas hakim besar Sabah dan Sarawak, David Wong Dak Wah, ditangguh ke tarikh baru selepas Voon memfailkan notis memohon menjadi pencelah dengan perakuan segera (notice of urgency) pada Rabu.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim, membicarakan kes ini.

Malanjum, yang bersara pada April tahun lepas, dan Wong, yang bersara pada Februari, ialah warga Sabah.

Voon berkata jika permohonan Malanjum dan Wong untuk menjadi peguam di Sarawak dibenarkan, ia akan membuka pintu kepada peguam Semenanjung.

“Terdapat dalam Perjanjian Malaysia (MA63) bahawa peguam dari luar Sarawak tidak boleh mengamal di Sarawak melainkan mereka memenuhi syarat undang-undang mengikut Ordinan Peguambela Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Persatuan Peguambela Sarawak Cawangan Kuching, Liew Tang Chieh, berkata Seksyen 2(2)(a),(b), atau (c) Ordinan Peguambela mesti betul-betul dipatuhi, kerana ia menyatakan hanya peguam yang mempunyai hubungan dengan Sarawak boleh mengamal di negeri itu.

Ordinan itu menyatakan seseorang akan dianggap mempunyai hubungan dengan Sarawak jika mereka lahir di negeri itu, bermastautin berterusan selama 5 tahun atau lebih, dan menetap di Sarawak.