MTUC bidas Putrajaya, gagal runding dasar dengan pemegang taruh

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, berkata Kementerian Sumber Manusia belum mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Tenaga Kerja Nasional.

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak Putrajaya melibatkan pemegang taruh dalam perancangan Pelan Induk Ekonomi Digital bagi menjamin kebajikan pekerja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed sebelum ini mengumumkan kerajaan berhasrat melancarkan inisiatif itu pada Oktober, dengan hasrat untuk memperluaskannya ke semua sektor termasuk bukan pembuatan.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, berkata tiada rundingan dibuat dengan MTUC dan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) sebelum kerajaan memutuskan untuk melancarkan pelan itu.

MTUC dapat tahu tentang pelan induk itu menerusi media.

“Kerajaan, terutama Kementerian Sumber Manusia, belum mengadakan 1 pertemuan pun dengan Majlis Penasihat Tenaga Kerja Nasional (NLAC) sejak kerajaan terbentuk 6 bulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah langkah untuk memajukan automasi dan pendigitalan dalam pelbagai sektor akan memberi kesan pada banyak perniagaan serta ramai pekerja kerana ia melibatkan keselamatan kerja, peningkatan kemahiran, dan latihan ulangan.

“Pelan induk akan jadi tidak produktif jika tiada undang-undang yang relevan dan efektif untuk melindungi pekerja kerana syarikat secara agresif menekankan automasi dan pendigitalan.

“Kerajaan nampak seperti meniru pentadbiran lepas dengan mengetepikan wakil pekerja yang diberi mandat oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa, dalam merangka dasar dan perundangan penting yang memberi kesan kepada pekerja,” katanya, merujuk kepada kurangnya rundingan antara pentadbiran Pakatan Harapan dengan MTUC dalam pelbagai isu.

Solomon juga berkata, mengecualikan pemegang taruh dalam dasar tersebut bermaksud gagal melindungi kebajikan pekerja, yang mungkin diberhentikan oleh bank dengan alasan mahu seiring dengan pendigitalan dan automasi.

“Kami sekeras-kerasnya menggesa kerajaan membuat rundingan yang bermakna dan efektif dengan NLAC bagi memastikan pandangan pekerja dan majikan didengar dan dipertimbangkan secara kolektif.

“Hanya dengan proses ini, kerajaan dapat melaksanakan pelan induk itu secara menyeluruh yang melindungi kepentingan pekerja juga.”