PAS sedia guna simbol BN, kata Hadi

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata ia bukan kali pertama parti itu menggunakan lambang lain kerana pernah berbuat demikian pada 1974 ketika berada dalam Barisan Nasional (BN)

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini berkata parti itu sedia bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menggunakan simbol Barisan Nasional (BN).

“PAS tidak ada masalah guna simbol BN, PAS boleh guna simbol BN di Sabah. Namun, ia terpulang kepada keputusan yang dibuat, kalau keputusan guna simbol masing-masing, guna simbol masing.

“Hal ini kerana, saya difahamkan di Sabah, ada parti di Sabah yang hendak buat simbolnya sendiri. Terpulang, kita tak ada masalah,” katanya dalam sidang media di Marang, Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, keputusan menggunakan simbol BN bukan perkara baru sebaliknya PAS pernah bertanding menggunakan simbol itu pada 1974, ketika masih berada dalam gabungan BN.

“Jika kita guna lambang BN, ia bukan kali pertama PAS menggunakan lambang lain kerana kita pernah berbuat demikian pada 1974, ketika PAS masih berada dalam BN,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata, calon BN yang akan bertanding dalam PRN Sabah akan menggunakan lambang parti dacing, kerana pengundi sudah terbiasa dengannya.

Annuar yang juga ketua koordinator BN bagi PRN Sabah berkata, tinjauan ibuat mendapati pengundi sudah biasa dengan lambang dacing dan perkara itu tidak boleh dipandang remeh.

Malah, menurutnya biro politik dan Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat sudah memaklumkan kepada parti rakan komponen Perikatan Nasional (PN) yang calon BN akan menggunakan lambang dacing.